Oleh : Mohamad Muhaimin bin Mohamad Zaki
(puisi)
Hormatilah ibumu sesungguh hati,
Jasa mereka tidak terperi,
Assalamualaikum ucapan diberkati,
Ketokohan sahabat Rasullah,
Model kepimpinan Islam tajuk diberi.
Bismillahirrahmanirrahim….
Terima kasih buat saudara/i pimpinan majlis, yang
dimuliakan barisan para pensyarah yang merangkap hakim yang arif lagi bijaksana
seterusnya para hadirin tetamu majlis syurga yang dirahmati Allah SWT sekalian.
Alhamdulilah bersyukur kita kehadrat Allah tatkala kita
dipertemukan dalam satu majlis keilmuan yang mana para malaikat turut
berpusu-pusu duduk bersama kita, berzikir dan mendengar titipan
ilmu buat bekalan di akhirat kelak.
Insya-allah, pada pagi di bulan Syaaban yang barakah ini,
izinkan saya untuk cuba membawa hati-hati para hadirin agar turut serta
bersama saya menyelami, mendalami akan satu mauduk Islami yang berjudul
“KETOKOHAN
SAHABAT RASULULLAH MODEL KEPIMPINAN ISLAM”
Namun sebelum itu ayuh kita perdengarkan dahulu apakah
definisi di sebalik tajuk syarahan saya. Frasa Ketokohan Sahabat Rasulullah
merujuk kepada kepimpinan tokoh-tokoh yang beriman dan pernah bertemu dengan
Nabi Muhammad SAW manakala Model Insan Kepimpinan Islam pula ialah acuan
suri tauladan yang baik bagi melahirkan manusia yang berkeupayaan memimpin
berlandaskaan syariat Islam. Kepimpinan dalam Islam termasuklah iman, ukhuwah dan
keselarasan dalam memimpin.
Hadirin yang dimuliakan Allah sekalian,
Meniti wacana fikrah saya yang pertama, “Keimanan
Bilal bin Rabah Model Kepimpinan Islam”.
Ahad, Ahad, Ahad.. Kalimah tauhid inilah yang membasahi lidah
sahabat Rasulullah Bilal bin Rabah
tatkala dirinya disiksa dan diheret mengelilingi Kota Mekah di bawah terik
mentari di tengah-tengah padang pasir. Namun, keimanan yang kental telah
merasuk jiwa Bilal lantas dirinya sedikit pun tidak berpaling daripada
mengesakan Allah. Allah berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 102,
“ bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar
taqwa”
Masihkah kita ingat akan peristiwa kemalangan maut di
Turki yang melibatkan pelajar Malaysia, Allahyarham
Muhammad Ammar? Kedua ibu bapanya telah menerima kehilangan anak ini dengan
penuh yakin bahawa ada hikmah terselindung di sebalik ujian . Maka,
jelaslah terbukti bahawa Keimanan Bilal bin Rabah Model Kepimpinan
Islam”.
Hadirin pencetus minda bijaksana,
Wacana fikrah saya yang kedua ialah “ Kepatuhan dan
Kesetiaan Abu Bakar As-Siddiq Model Kepimpinan Islam”.
Saidina Abu Bakar merupakan tokoh sahabat yang paling
akrab dan dikasihi oleh Rasulullah. Setianya Abu Bakar saat menutup lubang kala
jengking di Gua Thur dalam peristiwa
hijrah dan patuhnya beliau apabila sanggup menderma seluruh hartanya untuk
perjuangan Islam.
Ketika ditanya oleh baginda Nabi Muhammad SAW ketika
beliau menginfakkan hartanya untuk peperangan Tabuk, apakah yang telah kamu
tinggalkan kepada keluarga kamu wahai Abu Bakar?
Dijawab dengan senang hati olehnya, aku tinggalkan buat
keluargaku Allah dan Rasul.
Firman Allah dalam surah an-Nisa ayat 59,
Maksudnya : “Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan
pemerintah di antara kamu”
Seharusnya, kita selaku rakyat Malaysia haruslah mentaati
pemimpin selagi mana mereka beriman kepada Allah dan Rasul dan tidak mengajak
rakyatnya melakukan perkara yang mungkar. Oleh itu, ternyata Kepatuhan dan
Kesetiaan Abu Bakar As-Siddiq Model Kepimpinan Islam.
Hadirin yang dirahmati Allah sekalian,
Wacana fikrah saya yang ketiga di bawah lembayung frasa “
Kepimpinan dan Ketegasan Umar al-Khattab, Model Kepimpinan Islam”.
Sikap keberanian Umar al-Khattab terbukti ketika beliau
mengisytiharkan keislamanya secara terang-terangan. Pemimpin berjiwa rakyat ini
juga sanggup menyamar sebagai rakyat marhaen untuk meninjau keadaan rakyatnya.
Keberanian dan kezuhudan mantan Menteri Besar Kelantan Almarhum Dato Bentara
Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam menyantuni dan mendekati rakyat di
bawahnya serta prinsipnya yang jelas amatlah digeruni rakan dan lawan. Sikap
pemimpin yang sebeginilah harus menjadi contoh generasi baharu kini untuk
menjadi bijaksana dalam segenap aspek. Hal ini bersesuaian dengan hadis
Rasulullah SAW,
كلكم راع وكلكم
مسؤول عن رعيته
Maksudnya “Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan
dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya”.
Terbukti di sini bahawa, “Kepimpinan dan Ketegasan
Umar al-Khattab Model Kepimpinan Islam”.
Hadirin penjana minda berwawasan,
Wacana fikrah saya yang keempat di bawah lembayung
kata “Keluasan Ilmu Ali b. Abi Talib, Model Kepimpinan Islam.
Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Pepatah ini
adalah bertepatan dengan didikan yang telah diberi oleh Nabi Muhammad kepada
Ali b. Abi Talib semenjak beliau kecil lagi. Oleh yang demikian, beliau
merupakan antara sahabat yang memiliki ketinggian ilmu sehingga dilantik
menjadi penulis wahyu. Nik Nur Madihah seorang pelajar cemerlang SPM 2008 yang
telah mendapat keputusan cemerlang 20 A pasti telah mencontohi Saidina Ali
Karamallahu wajhah ini dalam kesungguhan menuntut ilmu selaras dengan hadis
yang diriwayatkan oleh Bukhari,
طلب العلم فريضة
على كل مسلم
Maksudnya : Menuntut ilmu itu wajib kepada setiap
orang Islam ( lelaki atau perempuan )
Maka, jelaslah bahawa Keluasan Ilmu Ali b. Abi Talib
Model Kepimpinan Islam.
Hadirin penjana transformasi negara,
Wacana fikrah saya yang kelima ialah “ Ketinggian
Akhlak dan Sikap Dermawan Uthman b. Affan Model Kepimpinan Islam”
Sikap dan keperibadian Saidina Uthman yang dermawan dan
mulia terbukti apabila beliau telah membeli sebuah sumur ‘Bir Raumah’ lantas
mewakafkan bagi keperluan umat Islam. Rasulullah sangat mengasihi Uthman
sehingga menyifatkanya sebagai teman baginda di dalam syurga. Tan Sri Syed
Mokhtar al-Bukhary, seorang ikon jutawan Islam di Malaysia telah menubuhkan
Yayasan Bukhari yang berperanan membantu golongan miskin dan menyokong perkembangan
seni, pendidikan dan budaya Islam bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2 ,
“dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan
dan taqwa, dan janganlah tolong menolong dalam berbuat dosa dan pergaduhan..”
Hadirin yang dihormati sekalian,
Wacana fikrah saya yang terakhir ialah “ Wawasan
Akhirat Khalid al-Walid, Model Kepimpinan Islam ”.
Matlamat akhir bagi setiap umat Islam adalah untuk
mendapat kebahagiaan di akhirat dan inilah wawasan Khalid al-Walid, sahabat
Rasulullah yang mendapat gelaran pedang Allah. Beliau sangat bercita-cita untuk
mati syahid di medan peperangan dan sikapnya sangat positif dalam menghadapi
setiap rintangan perjuangan. Walau bagaimanapun, impian tersebut tidak tercapai
kerana perancangan Allah mengatasi segalanya.
Allah berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 54
“Mereka merancang, sesungguhnya Allah adalah
sebaik-baik perancang”
Khalid telah meninggal dunia di atas katil di kamar
tidurnya. Demikianlah kekuasaan Allah dan manusia akan kembali kepada-Nya
sesuai dengan kemahuan-Nya. Pengorbanan parajurit Angkatan Tentera Malaysia
yang berjuang malah ada yang terkorban sewaktu peristiwa pencerobohan di Lahad
Datu, Sabah adalah salah satu contoh rentetan kepada perjuangan tanpa getir. Namun,
wawasan akhirat Khalid ketika berjuang di medan jihad, wajar dijadikan contoh
seterusnya membuktikan bahawa Wawasan Akhirat Khalid al-Walid, Model
Kepimpinan Islam.
Akhir kalam, dengan mengambil keenam-enam wacana fikrah
saya sebentar tadi, Maka dapatlah dedikasikan bahawa ketokohan para sahabat
yang dijanjikan syurga oleh Allah ini dapat melahirkan seorang muslim modal
insan yang berkepimpinan menurut syariat dan panduan Islam.
Seandainya segala isi yang telah saya kupaskan tadi
dibumikan dan dicontohi oleh masyarakat mutakhir ini, maka impian kita untuk
melihat modal insan yang berjuang memuliakan Islam hingga hayat yang terakhir
dan berkepimpinan persis sahabat Rasullah SAW akan terlaksana.
Sedap sungguh
gulai sembilang,
Gulai dibeli
di Restoren Haslam,
Untuk
melahirkan modal insan terbilang,
Rujuklah
panduan model kepimpinan Islam.
Sekian, terima
kasih.
Teratak Firdaus,
Kampung Tasek Junjung
31 Mei 2016, 3:43 pagi
0 comments:
Post a Comment