Saban tahun
kita menyambut Nuzul Al-Qur’an, namun adakah kita menghayati dengan sebenar
ibrah di sebalik peristiwa tersebut. Allah SWT telah menurunkan al-Quran
sebagai satu mukjizat terbesar yang membuktikan kerasulan Nabi Muhammad SAW dan
kewujudan Allah SWT dengan segala sifat-sifat kesempurnaannya. Membaca al-Quran
serta menghayati dan mengamalkannya adalah satu ibadat sunnah.
.
Maka peristiwa
Nuzul al-Quran memberi makna terlalu besar kepada umat Islam dan kehidupan Nabi
SAW khasnya. Ayat al-Quran diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW.
melalui perantaraan Malaikat Jibril secara berperingkat-peringkat hingga
menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini.
Al-Quran
dinukilkan kepada kita secara mutawatir, pasti dan qat’i serta ditulis mashaf
yang hari ini lebih dikenali sebagai mashaf ‘Uthmani. Adalah wajar bagi umat
Islam mengkaji sejarah al-Quran dan perkara yang berkaitan dengannya.
.
.
NUZUL AL QURAN
( 24 RAMADHAN )
.
Peristiwa agung
dan istimewa dalam sejarah umat ialah malam diturunkan al-Quran (Nuzul
al-Quran) yang berlaku pada 24 Ramadhan. Ia juga disebut Allah sebagai malam
yang diberkati (lailatin mubarakah).
Firman Allah
SWT.:
- “Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat.” (Surah al-Dukhan ayat 3).
- “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.” (Surah al-Qadr, ayat 1).
- “Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)
‘Malam
yang berkat’ yang dinyatakan Allah SWT dalam surah al-Dukhan
itu adalah malam yang penuh dengan kebaikan dan rahmat, yang lebih besar
keutamaannya dari amalan seribu bulan. Maka Allah SWT telah memilih tarikh
turun kalam-Nya buat pemimpin umat sejagat Nabi Muhammad SAW yang penuh dengan
kemuliaan itu untuk berlaku pada hari yang mulia iaitu malam al-Qadr itu
sendiri.
Ketiga2 ayat
ini menunjukkan penurunan berlaku pada bulan Ramadhan dan secara khususnya ia
diturunkan pada malam al-Qadr yang merupakan suatu anugerah Allah buat mereka
yang menghidupkan malam-malam pada bulan Ramadhan.
.
.
MAKNA NUZUL AL
QURAN
.
Nuzul al-Quran
bererti penurunan al-Quran dari langit kepada Nabi Allah yang terakhir.
Perkataan Nuzul dalam pelbagai wajah sama Ada kata nama, kata perbuatan atau
lainnya digunakan dalam al-Quran sebanyak lebih kurang 290 kali. Sebagai
contoh, “Dia yang telah…..menurunkan hujan.”
(al-Baqarah:22), dan “Dialah….yang menurunkan
Taurat Dan Injil.” (Ali Imran:3).
.
‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah, iaitu berpindah
dari atas ke bawah atau turun dari tempat yang tinggi. ‘Al-Quran’ pula
bermaksud bacaan atau himpunan, kerana al-Quran itu untuk dibaca oleh manusia
dan di dalamnya terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang
meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, munakahat, sains, teknologi
dan sebagainya.
.
Kelebihan
al-Quran tidak ada satu perkara pun yang terlepas atau tertinggal di dalam
al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman
Allah:
وَمَا مِن
دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا طَائِرٍ يَطِيرُ بِجَنَاحَيْهِ إِلَّا أُمَمٌ
أَمْثَالُكُم ۚ مَّا فَرَّطْنَا فِي الْكِتَابِ مِن
شَيْءٍ ۚ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِمْ يُحْشَرُونَ ﴿٣٨﴾
Dan tidak seekor pun binatang yang
melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya,
melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di
dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada
Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)
.
Al-Quran adalah
hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala
isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti
cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang
hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.
.
.
TARIKH SEBENAR NUZUL AL-QURAN
.
Secara
tradisinya umat Islam di Malaysia memperingati dan menyambut peristiwa Nuzul
Al-Quran pada 17 Ramadhan, yang sepatutnya dibuat sambutan pada setiap 24
Ramadhan.
.
Peristiwa Nuzul
Al-Quran yang dikatakan berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41
daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW., bersamaan dengan tanggal 6 Ogos 610M,
ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira. Namun sesungguhnya pendapat
yang lebih tepat tentang turunnya al-Quran ialah pada malam Isnin, tanggal 24
Ramadhan bersamaan 13 Ogos 610 M.
.
Pendapat yang
mengatakan berlakunya pada 17 Ramdhan adalah berdasarkan ayat ke 41 dari Surah
Al-Anfaal. Surah ini hanyalah difokuskan kepada perisytiwa perang
Badar bukannya al-Quran. Firman Allah dalam ayat ke 41 surah al-Anfal itu:
إِن
كُنتُمْ آمَنتُم بِاللَّـهِ وَمَا أَنزَلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا يَوْمَ
الْفُرْقَانِ يَوْمَ الْتَقَى الْجَمْعَانِ ۗ وَاللَّـهُ عَلَىٰ كُلِّ
شَيْءٍ قَدِيرٌ ﴿٤١﴾
“…jika kamu beriman kepada Allah dan
apa-apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Nabi Muhammad SAW) pada hari
Furqan, iaitu di hari bertemunya dua pasukan (diperang Badar, antara muslimin
dan kafirin)…” (8 : 41)
Ayat tersebut
tidak ada sangkut-pautnya dengan Nuzul Al-Quran.
.
Menurut riwayat
dari Ibn Abbas, ayat tersebut hanya penjelasan tentang hukum pembahagian harta
rampasan perang seperti yang terdapat pada awal ayat tersebut.
” Ketahuilah
sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka
sesungguhnya seperlima untuk Allah, RasulNya, kerabat-kerabat (Rasul),
anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil (orang yang sedang dalam perjalanan)…”.
.
Justeru tarikh
yang lebih tepat tentang Nuzul al-Quran adalah pada 24 Ramadhan kerana
ia berdasarkan ayat 1 Surah Al-Qadr dan ayat 1-4 Surah Ad-Dukhan yang telah
dihuraikan di atas.
.
.
.
PERINGKAT
PENURUNAN AL-QURAN
.
Para ulama
menyatakan penurunan al-Quran berlaku dalam dua bentuk iaitu secara sekaligus,
Dan berperingkat. Walau bagaimanapun mereka berselisih pendapat tentang berapa
kali berlakunya penurunan al-Quran secara sekaligus. Terdapat tiga pandangan
mengenai hal ini, iaitu;
Pertama, Penurunan al-Quran dari Allah SWT ke al-Lauh
al-Mahfuz;
Kedua, Dari al-Lauh al-Mahfuz ke Bait al-‘Izzah di
langit dunia; dan
Ketiga, Penurunan kepada Jibril a.s. dalam tempoh 20
malam.
.
Al-Suyuti dalam
kitabnya ‘al-Itqan if Ulum al-Quran’ berdasarkan tiga riwayat oleh Ibn ‘Abbas,
Hakim Dan al-Nasa’i, hanya membahagikan kepada dua peringkat sahaja iaitu dari
al-Lauh Mahfuz ke Bait al-‘Izzah Dan dari Bait al-‘Izzah kepada Rasulullah SAW
melalui Jibril a.s.
.
1. Dari Allah
SWT ke al-Lauh al-Mahfuz.
Penurunan ini berlaku sekaligus dengan tujuan untuk membuktikan ketinggian Dan kekuasaan Allah SWT. Para Malaikat menyaksikan bahawa segala perkara yang ditentukan oleh Allah SWT di Luh Mahfuz ini benar-benar berlaku. Pendapat ini disandarkan kepada ayat 21 dan 22 surah al-Buruj yang berbunyi,
Penurunan ini berlaku sekaligus dengan tujuan untuk membuktikan ketinggian Dan kekuasaan Allah SWT. Para Malaikat menyaksikan bahawa segala perkara yang ditentukan oleh Allah SWT di Luh Mahfuz ini benar-benar berlaku. Pendapat ini disandarkan kepada ayat 21 dan 22 surah al-Buruj yang berbunyi,
بَلْ هُوَ
قُرْآنٌ مجيد فِي لَوْحٍ مَحْفُوظ .
“(Sebenarnya apa yang engkau
sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah Al-Quran yang
tertinggi kemuliaannya; (Lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Luh
Mahfuz.” (al-Buruj:21-22)
.
.
2. Dari al-Lauh
al-Mahfuz ke Bait al-‘Izzah di langit dunia
Penurunan kali
kedua secara sekali Gus dari al-Lauh al-Mahfuz ke Bait al-’Izzah di langit
dunia dipercayai berlaku berpandukan kepada tiga (3) ayat al-Quran sebagaimana
yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas;
.
Allah SWT
berfirman, dalam al-Baqarah, ayat 185:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ
هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ
مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ
فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلا يُرِيدُ
بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا
هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa
itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk
bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan
petunjuk Dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh
itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau
mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit
atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa)
sebanyak Hari yang ditinggalkan itu pada hari-Hari yang lain. (Dengan ketetapan
yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak
menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan
puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat
petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur.”
.
Firman Allah
SWT, dalam ad-Dukhan, ayat 3:
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ
إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan
Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana
sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba
Kami ditimpa azab).”
.
Firman Allah
SWT dalam al-Qadr, ayat 1:
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan
(Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.”
.
Ibn ‘Abbas juga
menyatakan mengikut apa yang diriwayatkan oleh Said b. Jubayr: “Al-Quran
diturunkan sekali gus pada malam yang penuh berkat.” Ikrimah pula meriwayatkan
‘Abdullah bin ‘Abbas berkata: “Al-Quran diasingkan daripada al-Dhikr ‘الذكر’ dan ditempatkan di Bait al-‘Izzah di
langit dunia.
.
Ibn Marduwayh
dan al-Baihaqi mencatatkan perbualan antara ‘Atiyyah bin al-Aswad dan ‘Abdullah
bin ‘Abbas yang mana ‘Atiyyah agak keliru mengenai penurunan ayat-ayat ini,
“Pada bulan Ramadhan al-Quran diturunkan”, dan “Sesungguhnya Kami telah
menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar”, ia juga diturunkan pada
bulan Syawwal, Dhu al-Qaedah, Dhu al-Hijjah, al-Muharram, Safar dan Rabi’
al-Awwal.” Kemudian Ibn ‘Abbas menjelaskan: “Al-Quran diturunkan pada malam
Lailatul-Qadar sekali gus kemudiannya untuk diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w.
secara beransur-ansur selama beberapa bulan dan hari.”
.
.
3. Dari Bait
al-’Izzah kepada Rasulullah SAW
Menurut sebuah
riwayat oleh Ibn Abbas dan pandangan majoriti para mufassirin, Al-Quran
diturunkan sekaligus ke ‘Baitul Izzah’di langit ke dunia pada
malam ‘Lailatul Qadar’. Sedangkan Al-Quran yang diturunkan ke
bumi dan diterima Rasullullah sebagai wahyu terjadi secara beransur-ansur
selama sekitar 23 tahun.
.
Al-Quran mula
diturunkan kepada Rasulullah SAW secara beransur-ansur sejak baginda dilantik
menjadi Rasulullah SAW dan selesai apabila baginda hampir wafat, iaitu dalam
tempoh masa 22 tahun 2 bulan 22 hari atau 23 tahun, 13 tahun di Mekah dan 10
tahun di Madinah al-Munawwarah. Ayat-ayat dan surah-surah yang diturunkan
sebelum peristiwa hijrah dikenali sebagai Makkiyah dan yang diturunkan selepas
peristiwa hijrah dikenali sebagai Madaniyyah .
.
Mengikut
pendapat ini, Jibril a.s. diberi Malam Lailatul-Qadar setiap tahun, dari mula
turun wahyu hingga ke akhirnya sepanjang tempoh kenabian, sebahagian daripada
al-Quran disimpan di Bait al-‘Izzah yang mencukupi baginya untuk disampaikan
kepada Rasulullah SAW dalam masa 20 tahun. Pandangan ini dipegang kuat oleh
al-Mawardi.
.
RasululLah SAW
bersabda: “Al-Quran diturunkan sekali gus oleh
Allah ke langit dunia pada malam al-Qadr kemudian ia diturunkan secara
berperingkat dalam masa 20 tahun” (Hadis riwayat Ibn Abbas.)
Sebahagian
ulama berpendapat penurunan al-Quran hanya sekali sahaja iaitu daripada Allah
SWT terus kepada Rasulullah SAW melalui Jibril secara berperingkat dan bukannya
tiga kali dari Allah SWT ke al-Lauh al-Mahfuz, ke Bait al-‘Izzah dan kepada
Rasulullah SAW.
.
.
AYAT PERTAMA
DAN TERAKHIR
.
Ayat al-Quran
yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan
Malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq.
”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama
Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari
sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar
manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak
diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)
.
Dan peristiwa
ini terjadi ketika Rasulullah SAW sedang bertahannus (menyendiri) di Gua Hira.
Sedangkan ayat Al-Quran yang terakhir sekali diturunkan adalah ayat-ayat riba
iaitu ayat 278 sehingga 281 dari surah Al-Baqarah.
.
.
CARA-CARA
AL-QURAN DIWAHYUKAN
.
Isteri
Rasulullah SAW, Saidatina Aishah, meriwayatkan sebelum Nabi Muhammad diangkat
menjadi Rasul, beliau bermimpi perkara yang benar lalu beliau menyendiri di gua
Hira’ beribadah kepada Allah SWT untuk selama beberapa tahun. Di gua
berkenaanlah baginda menerima wahyu yang pertama.
.
Harith bin
Hisham, seorang sahabat Rasulullah SAW, pernah bertanya kepada Baginda
bagaimana Wahyu diturunkan kepadanya. Rasulullah menjawab, ”Kadang-kadang wahyu datang kepada-Ku dengan gema
(desingan) loceng Dan ini amat berat bagi-Ku, Dan sementara bunyi itu hilang
aku mengingati apa yang disampaikan kepada-Ku. Kadang Ia datang dalam bentuk
jelmaan malaikat kepada-Ku merupai lelaki, bercakap dengan-Ku Dan aku menerima
apa saja yang disampaikannya kepada-Ku.”
.
.
Nabi Muhammad
SAW mengalami bermacam-macam cara dan keadaan semasa menerima wahyu. Antara
cara-cara Al-Quran diwahyukan adalah:
.
1. Menerusi
mimpi yang benar (al-Rukya al-Sadiqah) Malaikat memasukkan wahyu itu ke dalam
hatinya. Dalam hal ini, Nabi SAW tidak melihat sesuatu apa pun, hanya beliau
merasa bahawa itu sudah berada di dalam kalbunya. Sebagai contohnya Nabi pernah
bersabda mengatakan: “Ruhul Quddus mewahyukan
ke dalam kalbuku bahawa seseorang itu takkan mati sehingga dia menyempurnakan
rezekinya yang telah ditetapkan oleh Allah“. ( As-Syura: 51)
.
2. Malaikat
menampakkan dirinya kepada Nabi SAW menyerupai seorang lelaki yang mengucapkan
kata-kata kepadanya sehingga beliau mengetahui dan hafal benar mengenai
kata-kata itu.
.
3. Wahyu datang
kepadanya seperti gemercingnya loceng. Cara inilah yang amat berat dirasakan
Nabi SAW. Kadang-kadang pada keningnya terdapat peluh, meskipun turunnya wahyu
itu di musim yang sangat dingin. Ada ketikanya, unta beliau terpaksa berhenti
dan duduk kerana merasa amat berat.
Diriwayatkan
oleh Zaid bin Tsabit: ” Aku adalah penulis wahyu yang diturunkan kepada
Rasulullah. Aku lihat Rasulullah ketika turunnya wahyu itu seakan-akan diserang
demam yang kuat dan peluhnya bercucuran seperti permata. Kemudian setelah
selesai turunnya wahyu, barulah beliau kembali seperti biasa”.
.
4. Malaikat
menampakkan dirinya kepada Nabi SAW. dalam rupanya yang benar-benar asli
sebagaimana yang terdapat di dalam surah An- Najm ayat 13 & 14 : “Sesungguhnya Muhammad telah melihatnya pada kali yang lain
(kedua). Ketika (ia berada) di Sidratulmuntaha”
.
5. Malaikat
mewahyukan kepada Nabi SAW dari atas langit seperti yang berlaku dalam
peristiwa al-Isra` wal Mikraj . Sesetengah ulamak berpendapat baginda SAW juga
pernah berbicara secara langsung dengan Allah dan menerima wahyu seperti yang
berlaku pada Nabi Musa.Perkara ini merupakan suatu khilaf di kalangan para
ulamak.
.
.
TUJUAN AL-QURAN
DITURUNKAN BERPERINGKAT
Tujuan Allah
menurunkan secara beransur-ansur adalah bagi memenuhi objektif-objektif berikut
:
- Agar lebih mudah difahami dan
dilaksanakan. Orang
akan enggan melaksanakan suruhan dan larangan sekiranya suruhan dan
larangan itu diturunkan sekaligus dalam kadar yang banyak. Hal ini disebut
oleh Bukhari dari riwayat ‘Aisyah r.a.
Di antara ayat-ayat itu ada yang nasikh dan ada yang mansukh, sesuai dengan kamaslahatan. Ini tidak dapat dilakukan sekiranya Al Quran diturunkan sekaligus. (Ini menurut pendapat yang mengatakan adanya nasikh dan mansukh)
Turunnya sesuatu ayat sesuai dengan peristiwa-peristiwa yang terjadi akan lebih berkesan dan lebih berpengaruh di hati.
.
- Memudahkan penghafalan. Orang-orang musyrik yang telah menanyakan mengapa Al Quran tidak diturunkan sekaligus, sebagaimana disebut dalam Al Quran surah Al Furqaan ayat 32:
“……mengapakah Al Quran tidak
diturunkan kepadanya sekaligus….?”
Kemudian
dijawab di dalam ayat itu sendiri:
“….Demikianlah, dengan (cara) begitu Kami hendak menetapkan
hatimu..”.
.
.
FUNGSI AL-QURAN
Al-Quran
mempunyai beberapa fungsi penting, diantaranya ialah:
.
1. Sebagai
Mukjizat Nabi Muhammad SAW.
Al-Quran
merupakan bukti kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad SAW, sekaligus ianya
menjadi bukti bahawa Al-Quran merupakan firman Allah SWT, bukannya ucapan atau
ciptaan Nabi Muhammad SAW sendiri. Rasullulah SAW telah menjadikan Al-Quran
sebagai senjata bagi menentang orang-orang kafir Quraisy. Didapati bahawa
mereka sememangnya tidak mampu menghadapinya, padahal mereka mempunyai
kemahiran menggubah bahasa-bahasa yang indah dalam ucapan dan sajak-sajak
mereka. Al-Quran secara prisipnya telah mengemukakan cabaran kepada bangsa Arab
menerusi tiga peringkat iaitu :
.
Peringkat
pertama.
Mencabar mereka
dengan keseluruhan Al-Quran dalam uslub umum yang meliputi orang Arab sendiri
dan orang lain, manusia malah jin, dengan cabaran yang mengalahkan dan
menjatuhkan mereka secara padu sebagaimana firmanNya.
“Katakanlah:
Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa Quran
ini, niscaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengannya, sekalipun sebahagian
mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain.” (17 : 88)
.
Peringkat
kedua.
Mencabar dengan
sepuluh surah sahaja daripada Al-Quran. Sebagaimana firmanNya:
“Bahkan
mereka mengatakan “Muhammad telah membuat-buat Al-Quran.” Katakanlah: Jika demikian,
maka datangkanlah sepuluh surah yang dibuat-buat yang menyamainya, dan
panggillah orang-orang yang kamu sanggup (memanggilnya) selain Allah, jika kamu
memang orang-orang yang benar. Jika mereka (yang kamu seru itu) tidak menerima
seruanmu, ketahuilah, sesungguhnya Al-Quran itu diturunkan dengan ilmu Allah” (11 : 13-14)
.
Peringkat
ketiga.
Mencabar mereka
hanya dengan satu surah daripada Al-Quran sahaja. Sebagaimana firmanNya:
“Atau
(patutkah) mereka mengatakan: Muhammad membuat-buatnya (Al-Quran). (Kalau benar
yang kamu katakan itu), cubalah datangkan satu surat seumpamanya” (10 : 38)
Dan cabaran ini
diulangi di dalam firmanNya:
“Dan
jika kamu tetap dalam keadaan ragu tentang Quran yang Kami wahyukan kepada
hamba Kami (Muhammad saw), maka buatlah satu surat saja yang semisal Al-Quran
itu…” (2 : 23 )
.
.
Ayat-ayat
Al-Quran mengandungi peraturan tentang hukum-hukum siyasah negara, sosial,
pendidikan, pengadilan, akhlak dan sebagainya. Semua aturan dan hukum ini wajib
dijadikan sebagai pandangan hidup bagi seluruh kaum muslimin dan umat manusia
untuk mengatasi semua permasalahan hidup yang dihadapinya.
.
Sememangnya
penyelesaian yang diberikan oleh syariat Islam adalah merupakan penyelesaian
yang sebenar-benarnya kearan ia satu-satunya perundangan yang dapat memenuhi
fitrah manusia itu sendiri. Kemampuan syariat Islam dalam menyelesaikan
pelbagai permasalahan kehidupan manusia inilah yang akan menjadikan Al-Quran sebagai
mukjizat abadi yang paling menonjol di muka bumi.
.
Wallahu A’alam
Bissowab
والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته
. Sumber Asal: https://shafiqolbu.wordpress.com/2011/08/23/menyingkap-tabir-sejarah-peristiwa-penurunan-al-quran-nuzul-al-quran/
0 comments:
Post a Comment