Saban tahun, kita menyambut bulan Zulhijjah. Dalam bulan tersebut, terdapat beberapa peristiwa penting antaranya sambutan kebesaran umat Islam iaitu Hari Raya Aidil Adha, ibadah haji dan perlaksanaan ibadah korban.
Disebalik pensyariatan ibadah korban ini juga, terdapat beberapa ibrah (pengajaran dan hikmah) yang dapat diambil kepada kita selaku manusia untuk membangunkan jiwa dan hati nurani supaya dapat berfikir mengenai keagungan dan kebesaran Allah SWT.
Ibrah Daripada Pensyariatan Korban
Ibadah korban bukan hanya menyembelih al-an’am (binatang ternakan) semata-mata, namun disebalik ibadah tersebut terdapat berbagai pengajaran yang dapat diambil dalam membangunkan jiwa insan. Pertamanya, ibadah korban dapat mendidik diri untuk bersedekah. Dalam Islam, harta andai semakin dikeluarkan dalam jalan kebaikan dan ketaatan akan semakin diberkati. Oleh yang demikian, secara tidak lansung penyakit jiwa seperti kedekut dan bakhil untuk bersedekah akan dapat dielakkan. Unjuran untuk memperbanyakkan bersedekah dan berkongsi rezeki yang dikurniakan Allah SWT telah termaktub dalam hadith baginda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:
"Infakkan hartamu. Janganlah engkau menghitung-hitungnya (menyimpan tanpa bersedekah. Jika tidak, maka Allah akan menghilangkan keberkatan rezeki tersebut. Janganlah menghalangi anugerah Allah untukmu. Jika tidak, maka Allah akan menahan anugerah dan kemurahan untukmu." (Riwayat al-Bukhari, Hadith No. 1433; Riwayat Muslim Hadith No. 1029).
Melalui ibadah korban juga, orang yang melakukan ibadah korban diharamkan untuk mengambil kesemua daging daripada binatang yang dikorbankan. Terdapat had dan kadar-kadar tertentu sahaja yang dibenarkan untuk mereka mengambil daging tersebut. Justeru, dalam ibadah korban akan mentarbiyah diri manusia agar tidak bersifat tamak dan haloba. Allah SWT juga menegaskan dalam firmannya mengenai kelebihan bersedekah dan berkongsi rezeki yang diperolehi yang bermaksud :
"Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dia-lah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya." (Saba', 34: 39).
Keduanya, ibadah korban juga mentarbiyah diri manusia untuk belajar meninggalkan tegahan dan larangan Allah SWT dan Rasulullah SAW. Mengambil contoh, dalam ibadah korban terdapat larangan bagi orang yang akan berkorban iaitu apabila bermulanya satu Zulhijjah hingga perlaksanaan ibadah korban, mereka yang berniat melakukan ibadah korban perlu meninggalkan beberapa larangan yang telah disabdakan melalui hadith baginda Nabi Muhammad SAW. Perkara ini telah dijelaskan daripada Ummu Salamah, Nabi Muhammad SAW telah bersabda:
"Jika kalian telah menyaksikan hilal Zulhijah (maksudnya telah memasuki 1 Zulhijah,) dan kalian ingin berkorban, maka hendaklah orang yang akan berkorban tidak memotong rambut dan kukunya." (Riwayat Muslim, Hadith No. 1977).
Namun hukumnya adalah makruh seandainya ia tidak meninggalkan larangan tersebut. Mengapa adanya larangan sebegini? Bagi mereka yang benar-benar meyakini pastinya ada hikmah di sebalik suruhan dan tegahan Nabi Muhammad SAW, pastinya sinar keimanan yang wujud dalam diri akan menzahirkan perbuatan meninggalkan larangan tersebut. Tepuk dada, tanyalah iman masing-masing? Adakah kita hanya beriman sekadar pemanis di bibir, namun tidak kepada perlaksanaan dalam kehidupan seharian. Bukankah antara tanda keberkatan dalam menuntut ilmu adalah dengan dapat mengamalkan ilmu yang dipelajari sebaik mungkin?
Ketiga, ibadah korban juga melatih manusia supaya rajin berzikir dan mengagungkan kebesaran Allah SWT. Dalam perlaksanaan ibadah korban, kita diwajibkan membaca bismillah dan disunahkan bertakbir ketika menyembelih korban dan bertakbir pada tiga hari setelahnya. Sejak hari pertama Zulhijah hingga kesepuluh Zulhijjah, kita sudah diperintahkan agar banyak bertakbir melalui firman Allah SWT yang bermaksud,
“Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang telah ditentukan” (Al Hajj, 22: 28).
Unjuran untuk memperbanyakkan berzikir pada bulan Zulhijjah ini telah dijelaskan oleh Imam Bukhari rahimahullah yang menyebut, Ibnu 'Abbas berkata: "Berzikirlah kalian pada Allah di hari-hari yang ditentukan iaitu sepuluh hari pertama Zulhijah dan juga pada hari-hari tasyriq."
Berzikir bukan sahaja akan menenangkan hati manusia yang gelisah, namun juga akan menerbitkan ketenangan dalam diri. Bukankah antara nikmat yang tidak ternilai dalam kehidupan ini adalah beroleh ketenangan dalam kehidupan seharian?
Berzikir juga adalah amalan rutin baginda Nabi Muhammad SAW. Dari 'Abdullah bin Busr radhiyallahu 'anhu, ia berkata bahawa ada seseorang yang berkata pada Rasulullah SAW :
"Wahai Rasulullah, syariat Islam sungguh banyak dan membebani kami. "Beritahukanlah padaku suatu amalan yang aku boleh konsisten dengannya. Nabi SAW pun bersabda, "Hendaklah lisanmu tidak berhenti dari berzikir pada Allah." (HR. Tirmidzi no. 3375, Ibnu Majah no. 3793, dan Ahmad 4: 188).
Gunakanlah kesempatan masa yang dikurniakan Allah dalam kehidupan yang sementara ini untuk memperbanyakkan berzikir, bertasbih memuji kebesaran Allah SWT. Hati tenang, jiwa yang aman, natijahnya segala urusan akan menjadi mudah dan senang. Indah bukan kehidupan sebegini?
Keempat, ibadah korban juga mendidik manusia agar mengambil pengajaran daripada kisah-kisah terdahulu di dalam al-Quran yang dapat dijadikan pengajaran kepada kita selaku umat manusia di akhir zaman.
Jika ditinjau dari sudut sejarah Islam, ibadah korban bukanlah suatu perkara baharu yang telah disyariatkan oleh Allah SWT kepada kita, bahkan ibadah ini telah diperintahkan oleh Allah SWT kepada Nabi Adam a.s agar memerintahkan putera mereka supaya mempersembahkan korban mereka. Kisah ini telah diterangkan secara terperinci oleh Allah SWT dalam firmannya yang bermaksud:
Dan bacakanlah (Wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) Yang berlaku Dengan sebenarnya, Iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari Yang lain (Qabil). berkata (Qabil):" Sesungguhnya Aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang Yang bertaqwa; (al-Maidah, 5:12).
Melalui kisah ini, Allah SWT hanya menerima korban daripada orang yang bertawa yakni mereka yang takut dan beriman dengan kekuasaan Allah SWT. Oleh yang demikian, ibadah korban juga secara tidak lansung mempamerkan sifat kehambaan manusia kepada Allah SWT dan membuang sifat permusuhan sesama manusia.
Terakhir, melalui ibadah korban juga, dapat mendidik manusia menghayati kesungguhan dan keimanan Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s melakukan ketaatan kepada setiap perintah Allah SWT kepada mereka. Ibadah korban ini telah disandarkan kepada Nabi Ibrahim a.s.memandangkan kesungguhan baginda untuk melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT, agar baginda mengorbankan anaknya sendiri iaitu Nabi Ismail a.s sebagai bukti kecintaan baginda terhadap Allah SWT. Kesungguhan ini telah diceritakan oleh Allah SWT dalam maksud firman-Nya:
Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat di dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu. (al-Saffat, 37:102 )
Lalu Nabi Ismail a.s menjawab sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
Wahai ayahku! Jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya Allah engkau akan mendapati aku dari kalangan orang-orang yang sabar. (al-Saffat, 37:102 )
Dikatakan kedua-duanya telah berserah diri sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu) dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah. (Kami sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah kami). (al-Saffat, 37:103 )
Setelah kedua-duanya berserah diri untuk menjalankan perintah Allah dan berazam dengan bersungguh-sungguh, Allah SWT telah menyeru dan memberikan khabar yang mengembirakan melalui Malaikat. Sebagaimana firman Allah SWT, yang bermaksud:
Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu, demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan, sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang yang datang kemudian, salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim, demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha melakukan kebaikan, sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman. ( al-Saffat, 37:104-111 ).
Setelah tercapai maksud ujian terhadap Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Ismail a.s serta mereka berdua bersegera untuk menunaikan perintah Allah SWT lalu Allah Taala mengantikan dengan seekor kibas putih yang mempunyai mata dan tanduk yang sempurna sebagai tebusan daripada menyembelih anaknya. Nabi Ibrahim a.s mendapati kibas tersebut terikat di sebatang pokok berhampiran Bukit Thabir lalu menyembelihnya di Mina. Tempat ini telah dijadikan sebagai tempat mengerjakan ibadat haji dan sunat berkorban bersempena dari peristiwa Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s serta berterusan sehingga kepada nabi kita Muhammad SAW.
Melalui kisah ini, ibrah yang dapat diambil dalam membangunkan jiwa insan adalah betapa kuatnya keimanan dan kesabaran yang diaplikasikan oleh Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s. Walaupun mengambil masa yang lama untuk mendapatkan zuriat, namun apabila beroleh zuriat terbut datangnya wahyu daripada Allah SWT untuk menyembelih anaknya yang dikasihi, Nabi Ibrahim a.s akur akan suruhan Allah SWT. Marilah kita bermuhasabah diri kita sendiri, adakah kita hanya beriman dan melakukan ketaatan kepada Allah SWT hanya apabila saat ditimpa musibah, lalu melupakan suruhan Maha Pencipta iaitu Allah SWT saat dikurniakan kesenangan dalam kehidupan? Jawapannya ada pada jiwa kita masing-masing.
Nikmat Yang Tidak Ternilai
Justeru ibadah korban ini merupakan sunnah Nabi Ibrahim yang dituntut agar kita berusaha untuk melaksakannya ini mempunyai berbagai ibrah yang wajar untuk kita fahami dan teladani dalam kehidupan seharian. Melalui ibadah korban juga, kita dapat menunjukkan tanda kesyukuran kepada Allah SWT terhadap nikmat yang ditelah dilimpahkanNya kepada kita. Daripada sekecil-kecil nikmat sehinggalah kepada nikmat yang paling besar iaitu nikmat beriman dengan Allah SWT.
Sesungguhnya, nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT tidak mampu untuk dihitung oleh kita, seperti mana maksud firman Allah SWT:
Dan ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua Yang kamu hajati. dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. (Ibrahim, 14:34).
Rumusannya, untuk menzahirkan keyukuran kepada Allah SWT, antara cara yang telah diperintahkan oleh Allah SWT adalah melalui ibadah korban. Selain daripada menzahirkan ketaatan kepada Allah SWT, Ibadah korban juga mempunyai pelbagai ibrah yang tersendiri dalam membangunkan jiwa insan. Antaranya, memperbanyakkan bersedekah, menghindarkan diri daripada pelbagai sifat mazmumah, melatih manusia melakukan amal kebaikan seperti berzikir, mengambil pengajaran daripada kisah sirah nabawiyah yang termaktub dalam al-Qur’an dan sebagainya. Semoga penulisan ini bermanfaat untuk kita semua, selamat membaca!
Rujukan:
Al-Qur’an
Muhammad Al Amin Asy Syinqithi. (2006). Adwa-ul Bayan fii Iidhohil Qur’an bil Qur’an, Beirut, Lubnan: Darul Kutub Al ‘Ilmiyah.
Syeikh Ahmad Faisol Omar. (2015). Ibadah mukmin sembelihan. Petaling Jaya, Selangor: Galeri Ilmu Sdn Bhd.
0 comments:
Post a Comment