Showing posts with label Institusi Islam. Show all posts
Showing posts with label Institusi Islam. Show all posts

Friday, 3 June 2016



KETOKOHAN SAHABAT RASULULLAH MODEL KEPIMPINAN ISLAM

Pendahuluan

Sahabat Rasullah SAW merupakan antara contoh yang terbaik dalam menterjemahkan maksud kepimpinan Islam dalam kehidupan seharian mereka. Mereka telah dididik, diasuh dan ditarbiyah secara lansung oleh seorang tokoh yang mendapat pengiktirafan dunia iaitu Nabi Muhammad SAW. Michael H. Hart (1978) telah meletakkan Rasulullah SAW sebagai manusia yang berada di kedudukan pertama  dalam senarai manusia yang dianalisisnya sebagai manusia yang paling berpengaruh dalam sejarah ketamadunan dunia.

Kepimpinan menurut Greenberg & Barron (1995)  adalah seseorang yang menentukan matlamat sesuatu organisasi dan strategi untuk mencapai matlamat organisasi yang telah ditetapkan. Hujah ini dikuatkatkan dengan pendapat Robbins (2001) yang menyatakan bahawa kepimpinan adalah kemampuan seseorang mempengaruhi pasukan kerja ke arah pencapaian matlamat organisasi.
Dalam Islam, aspek kepimpinan telah dinyatakan dengan jelas melalui hadith baginda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud;

“Setiap kamu adalah pemimpin yang akan diminta pertanggungjawaban atas kepemimpinannya. Seorang amir yang mengurus keadaan rakyat adalah pemimpin. Ia akan diminta pertanggungjawaban tentang rakyatnya. Seorang laki-laki adalah pemimpin terhadap keluarganya di rumahnya. Seorang wanita adalah pemimpin atas rumah suaminya. Ia akan diminta pertanggungjawaban tentang hal mereka itu. Seorang hamba adalah pemimpin terhadap harta benda tuannya, ia akan diminta pertanggungjawaban tentang harta tuannya. Ketahuilah, kamu semua adalah pemimpin dan semua akan diminta pertanggung jawaban tentang kepemimpinannya”(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Seterusnya, ketokohan sahabat Rasulullah SAW merujuk kepada kepimpinan tokoh-tokoh yang beriman dan pernah bertemu dengan Nabi Muhammad SAW manakala model kepimpinan Islam pula ialah acuan suri tauladan yang baik bagi melahirkan manusia yang berkeupayaan memimpin berlandaskaan syariat Islam.
Oleh itu, terdapat enam kata kunci yang akan dijelaskan. Pertama, keimanan Bilal bin Rabah; kedua, kepatuhan dan kesetiaan Abu Bakar As-Siddiq; ketiga, kepimpinan dan ketegasan Umar al-Khattab; keempat, Keluasan Ilmu Ali bin Abi Talib; kelima, ketinggian akhlak dan sikap dermawan Uthman bin Affan dan keenam, wawasan akhirat Khalid al-Walid.

Ketokohan Sahabat Rasulallah SAW Dan Implikasinya Di Malaysia.
Ahad, Ahad, Ahad. (Allah yang satu) Kalimah tauhid inilah yang membasahi lidah sahabat Rasulullah Bilal bin  Rabah tatkala dirinya disiksa dan diheret mengelilingi Kota Mekah di bawah terik mentari di tengah-tengah padang pasir. Namun, keimanan yang kental telah merasuk jiwa Bilal lantas dirinya sedikit pun tidak berpaling daripada mengesakan Allah. Allah berfirman  yang bermaksud,
“Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa” (Al-Imran, 3:102)
Mengambil contoh peristiwa kemalangan maut di Turki yang melibatkan pelajar Malaysia, Allahyarham Muhammad Ammar sewaktu dilannggar ambulan hospital yang bergerak laju sehingga menyebabkan kemalangan maut.  Kedua ibu-bapanya telah menerima kehilangan anak ini dengan penuh yakin bahawa ada hikmah terselindung di sebalik ujian.

Seterusnya adalah kepatuhan dan kesetiaan Saidina Abu Bakar merupakan tokoh sahabat yang paling akrab dan dikasihi oleh Rasulullah. Setianya Abu Bakar sanggup bersama-sama Rasullah SAW ketika berada di Gua Thur (al-Buti,1983: 222-224). Beliau mengambil risiko mempertahankan Rasulllah SAW dengan menutup lubang kala jengking di  Gua Thur dalam peristiwa hijrah dan patuhnya beliau apabila sanggup menderma seluruh hartanya untuk perjuangan Islam

Ketika ditanya oleh baginda Nabi Muhammad SAW ketika beliau menginfakkan hartanya untuk peperangan Tabuk, apakah yang telah kamu tinggalkan kepada keluarga kamu wahai Abu Bakar? Dijawab dengan senang hati olehnya, aku tinggalkan buat keluargaku Allah dan Rasul.
Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud,

 “Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan pemerintah di antara kamu” (an-Nisa,4:59)

Seharusnya, kita selaku rakyat Malaysia haruslah mentaati pemimpin selagi mana mereka beriman kepada Allah dan Rasul dan tidak mengajak rakyatnya melakukan perkara yang mungkar.
Seterusnya, kepimpinan dan ketegasan Saidina Umar al-Khattab. Sikap keberanian Umar al-Khattab terbukti ketika beliau mengisytiharkan keislamanya secara terang-terangan. Pemimpin berjiwa rakyat ini juga sanggup menyamar sebagai rakyat marhaen untuk meninjau keadaan rakyatnya.  Keberanian dan kezuhudan mantan Menteri Besar Kelantan Almarhum Dato Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam menyantuni dan mendekati rakyat di bawahnya serta prinsipnya yang jelas amatlah digeruni rakan dan lawan. Sikap pemimpin yang sebeginilah harus menjadi contoh generasi baharu kini untuk menjadi bijaksana dalam segenap aspek. Hal ini bersesuaian dengan hadith  Rasulullah SAW yang bermaksud:



كلكم راع وكلكم مسؤول عن رعيته

Maksudnya “Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya”.


Keluasan ilmu yang dimiliki oleh Saidina Ali bin Abi Talib juga merupakn model kepimpinan Islam. Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Pepatah ini adalah bertepatan dengan didikan yang telah diberi oleh Nabi Muhammad kepada Ali b. Abi Talib semenjak beliau kecil lagi. Oleh yang demikian, beliau merupakan antara sahabat yang memiliki ketinggian ilmu sehingga dilantik menjadi penulis wahyu. Contoh ikon remaja yang mengambil inspirasi ketokohan Saidina Ali KWJ adalah Nik Nur Madihah. Nik Nur Madihah merupakan  seorang pelajar cemerlang SPM 2008 yang telah mendapat keputusan cemerlang 20 A pasti telah mencontohi Saidina Ali KWJ ini dalam kesungguhan menuntut ilmu selaras dengan hadith Nabi Muhammad SAW yang bermaksud,

طلب العلم فريضة على كل مسلم

Menuntut ilmu itu wajib kepada setiap orang Islam (Riwayat Bukhari)


Keempat, ketinggian akhlak dan sikap dermawan Uthman bin Affan. Sikap dan keperibadian Saidina Uthman yang dermawan dan mulia terbukti apabila beliau telah membeli sebuah sumur ‘Bir Raumah’ lantas mewakafkan bagi keperluan umat Islam. Rasulullah SAW sangat mengasihi Uthman sehingga menyifatkanya sebagai teman baginda di dalam syurga. Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary, seorang ikon jutawan Islam di Malaysia telah menubuhkan Yayasan Bukhari yang berperanan membantu golongan miskin dan menyokong perkembangan seni, pendidikan dan budaya Islam bertepatan dengan firman Allah SWT  yang bermaksud:

“Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan taqwa, dan   janganlah tolong menolong dalam berbuat dosa dan pergaduhan..”(al-Maidah, 5:2)


Contoh ketokohan sahabat Nabi yang terakhir adalah wawasan akhirat Khalid al-Walid. Matlamat akhir bagi setiap umat Islam adalah untuk mendapat kebahagiaan di akhirat dan inilah wawasan Khalid al-Walid, sahabat Rasulullah SAW yang mendapat gelaran pedang Allah. Beliau sangat bercita-cita untuk mati syahid di medan peperangan dan sikapnya sangat positif dalam menghadapi setiap rintangan perjuangan. Walau bagaimanapun, impian tersebut tidak tercapai kerana perancangan Allah mengatasi segalanya. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud:

“Mereka merancang, sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik perancang”     (al-Imran, 2:54)


Khalid al-Walid telah meninggal dunia di atas katil di kamar tidurnya. Demikianlah kekuasaan Allah dan manusia akan kembali kepada-Nya sesuai dengan kemahuan-Nya. Mengambil contoh daripada ketokohan wawasan akhirat Khalid al-Walid adalah para anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Pengorbanan parajurit Angkatan Tentera Malaysia yang berjuang malah ada yang terkorban sewaktu peristiwa pencerobohan di Lahad Datu, Sabah adalah salah satu contoh rentetan kepada perjuangan tanpa getir. Namun, wawasan akhirat Khalid al-Walid ketika berjuang di medan jihad, wajar dijadikan contoh oleh kita semua.

Kesimpulan Dan Rumusan


Akhir sekali, berdasarkan contoh-contoh yang telah diberikan berdasarkan ketokohan sahabat Rasullah SAW ini dapatlah difahami bahawa ketokohan para sahabat yang dijanjikan syurga oleh Allah ini yang membentuk model kepimpinan yang mengikut acuan dan syiar Islam. Dengan sifat-sifat terpuji yang ditonjolkan oleh para sahabat baginda, mereka telah melaksanakan tanggungjawab memimpin ummah dengan berjaya.  Ketokohan mereka dipenuhi dengan contoh dan teladan yang bukan sedikit yang sewajarnya dicungkil dan dihayati oleh seluruh umat manusia, terutamanya oleh umat Islam, khususnya mereka yang merasakan diri mereka pejuang dan penggerak Islam.

Rujukan

Abdul Latip Talib. (2009). Umar al-Khattab reformis dunia Islam. Kuala Lumpur: PTS Litera Utama Sdn Bhd.
Jamal Mohamad Lokman Sulaiman. (1999). Biografi Tuan Guru Dato Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat seorang ulama serta ahli politik Malaysia abad ke 20. Subang Jaya, Selangor: Sulfa Human Resources & Development.
Michhael H Hart (1978) The 100 a rangking of most influential person in history.  New York: Hart Publishing Company,Inc.
Mufti Ahmed Ebrahim Bemat. (2004). Insan teladan sepanjang zaman. Kuala Lumpur, Malaysia: Penerbit Darul Nu’man.
Sa’id Ramadhan al-Buti (1983) Fiqh sirah, Shah Alam, Selangor: Dewan Pustaka Fajar.


0




Tajuk Syarahan: KETOKOHAN SAHABAT RASULULLAH MODEL KEPIMPINAN ISLAM

Oleh : Mohamad Muhaimin bin Mohamad Zaki

(puisi)
Hormatilah ibumu sesungguh hati,
Jasa mereka tidak terperi,
Assalamualaikum ucapan diberkati,
Ketokohan sahabat Rasullah,
Model kepimpinan Islam tajuk diberi.


Bismillahirrahmanirrahim….

Terima kasih buat saudara/i pimpinan majlis, yang dimuliakan barisan para pensyarah yang merangkap hakim yang arif lagi bijaksana seterusnya para hadirin tetamu majlis syurga yang dirahmati Allah SWT sekalian.

Alhamdulilah bersyukur kita kehadrat Allah tatkala kita dipertemukan dalam satu majlis keilmuan yang mana para malaikat turut berpusu-pusu duduk bersama kita, berzikir  dan  mendengar  titipan ilmu buat bekalan di akhirat kelak.

Insya-allah, pada pagi di bulan Syaaban yang barakah ini, izinkan saya untuk cuba membawa hati-hati  para hadirin agar turut serta bersama saya menyelami, mendalami akan satu mauduk Islami  yang berjudul

“KETOKOHAN SAHABAT RASULULLAH MODEL KEPIMPINAN ISLAM”
Namun sebelum itu ayuh kita perdengarkan dahulu apakah definisi di sebalik tajuk syarahan saya. Frasa Ketokohan Sahabat Rasulullah merujuk kepada kepimpinan tokoh-tokoh yang beriman dan pernah bertemu dengan Nabi Muhammad SAW manakala Model Insan Kepimpinan Islam pula ialah acuan suri tauladan yang baik bagi melahirkan manusia yang berkeupayaan memimpin berlandaskaan syariat Islam. Kepimpinan dalam Islam termasuklah iman, ukhuwah dan keselarasan dalam memimpin.

Hadirin yang dimuliakan Allah sekalian,

Meniti wacana fikrah saya yang pertama, “Keimanan Bilal bin  Rabah Model Kepimpinan Islam”.
Ahad, Ahad, Ahad.. Kalimah tauhid inilah yang membasahi lidah sahabat Rasulullah Bilal bin  Rabah tatkala dirinya disiksa dan diheret mengelilingi Kota Mekah di bawah terik mentari di tengah-tengah padang pasir. Namun, keimanan yang kental telah merasuk jiwa Bilal  lantas dirinya sedikit pun tidak berpaling daripada mengesakan Allah. Allah berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 102,
bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa

Masihkah kita ingat akan peristiwa kemalangan maut di Turki yang melibatkan pelajar  Malaysia, Allahyarham Muhammad Ammar? Kedua ibu bapanya telah menerima kehilangan anak ini dengan penuh yakin bahawa ada hikmah terselindung di sebalik ujian . Maka, jelaslah terbukti bahawa  Keimanan Bilal bin Rabah Model Kepimpinan Islam”.

Hadirin pencetus minda bijaksana,
Wacana fikrah saya yang kedua ialah “ Kepatuhan dan Kesetiaan Abu Bakar As-Siddiq Model Kepimpinan Islam”.
Saidina Abu Bakar merupakan tokoh sahabat yang paling akrab dan dikasihi oleh Rasulullah. Setianya Abu Bakar saat menutup lubang kala jengking di  Gua Thur dalam peristiwa hijrah dan patuhnya beliau apabila sanggup menderma seluruh hartanya untuk perjuangan Islam.
Ketika ditanya oleh baginda Nabi Muhammad SAW ketika beliau menginfakkan hartanya untuk peperangan Tabuk, apakah yang telah kamu tinggalkan kepada keluarga kamu wahai Abu Bakar?
Dijawab dengan senang hati olehnya, aku tinggalkan buat keluargaku Allah dan Rasul.

Firman Allah dalam surah an-Nisa ayat 59,

Maksudnya : “Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan pemerintah di antara kamu

Seharusnya, kita selaku rakyat Malaysia haruslah mentaati pemimpin selagi mana mereka beriman kepada Allah dan Rasul dan tidak mengajak rakyatnya melakukan perkara yang mungkar. Oleh itu, ternyata Kepatuhan dan Kesetiaan Abu Bakar As-Siddiq Model Kepimpinan Islam.
Hadirin yang dirahmati Allah sekalian,
Wacana fikrah saya yang ketiga di bawah lembayung frasa “ Kepimpinan dan Ketegasan Umar al-Khattab, Model Kepimpinan Islam”.
Sikap keberanian Umar al-Khattab terbukti ketika beliau mengisytiharkan keislamanya secara terang-terangan. Pemimpin berjiwa rakyat ini juga sanggup menyamar sebagai rakyat marhaen untuk meninjau keadaan rakyatnya.  Keberanian dan kezuhudan mantan Menteri Besar Kelantan Almarhum Dato Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam menyantuni dan mendekati rakyat di bawahnya serta prinsipnya yang jelas amatlah digeruni rakan dan lawan. Sikap pemimpin yang sebeginilah harus menjadi contoh generasi baharu kini untuk menjadi bijaksana dalam segenap aspek. Hal ini bersesuaian dengan hadis Rasulullah SAW,



كلكم راع وكلكم مسؤول عن رعيته

Maksudnya “Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya”.

Terbukti di sini bahawa, “Kepimpinan dan Ketegasan Umar al-Khattab Model Kepimpinan Islam”.

Hadirin penjana minda berwawasan,

Wacana fikrah saya yang keempat  di bawah lembayung kata “Keluasan Ilmu Ali b. Abi Talib, Model Kepimpinan Islam.

Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Pepatah ini adalah bertepatan dengan didikan yang telah diberi oleh Nabi Muhammad kepada Ali b. Abi Talib semenjak beliau kecil lagi. Oleh yang demikian, beliau merupakan antara sahabat yang memiliki ketinggian ilmu sehingga dilantik menjadi penulis wahyu. Nik Nur Madihah seorang pelajar cemerlang SPM 2008 yang telah mendapat keputusan cemerlang 20 A pasti telah mencontohi Saidina Ali Karamallahu wajhah ini dalam kesungguhan menuntut ilmu selaras dengan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari,

طلب العلم فريضة على كل مسلم

Maksudnya : Menuntut ilmu itu wajib kepada setiap orang Islam ( lelaki atau perempuan )

Maka, jelaslah bahawa Keluasan Ilmu Ali b. Abi Talib Model Kepimpinan Islam.

Hadirin penjana transformasi negara,

Wacana fikrah saya yang kelima ialah “ Ketinggian Akhlak dan Sikap Dermawan Uthman b. Affan Model Kepimpinan Islam”

Sikap dan keperibadian Saidina Uthman yang dermawan dan mulia terbukti apabila beliau telah membeli sebuah sumur ‘Bir Raumah’ lantas mewakafkan bagi keperluan umat Islam. Rasulullah sangat mengasihi Uthman sehingga menyifatkanya sebagai teman baginda di dalam syurga. Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary, seorang ikon jutawan Islam di Malaysia telah menubuhkan Yayasan Bukhari yang berperanan membantu golongan miskin dan menyokong perkembangan seni, pendidikan dan budaya Islam bertepatan dengan firman Allah SWT  dalam surah al-Maidah ayat 2 ,

“dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan taqwa, dan janganlah tolong menolong dalam berbuat dosa dan pergaduhan..”

Hadirin yang dihormati sekalian,

Wacana fikrah saya yang terakhir ialah “ Wawasan Akhirat Khalid al-Walid, Model Kepimpinan Islam ”.
Matlamat akhir bagi setiap umat Islam adalah untuk mendapat kebahagiaan di akhirat dan inilah wawasan Khalid al-Walid, sahabat Rasulullah yang mendapat gelaran pedang Allah. Beliau sangat bercita-cita untuk mati syahid di medan peperangan dan sikapnya sangat positif dalam menghadapi setiap rintangan perjuangan. Walau bagaimanapun, impian tersebut tidak tercapai kerana perancangan Allah mengatasi segalanya.

Allah berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 54

Mereka merancang, sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik perancang

Khalid telah meninggal dunia di atas katil di kamar tidurnya. Demikianlah kekuasaan Allah dan manusia akan kembali kepada-Nya sesuai dengan kemahuan-Nya. Pengorbanan parajurit Angkatan Tentera Malaysia yang berjuang malah ada yang terkorban sewaktu peristiwa pencerobohan di Lahad Datu, Sabah adalah salah satu contoh rentetan kepada perjuangan tanpa getir. Namun, wawasan akhirat Khalid ketika berjuang di medan jihad, wajar dijadikan contoh seterusnya membuktikan bahawa Wawasan Akhirat Khalid al-Walid, Model Kepimpinan Islam.

Akhir kalam, dengan mengambil keenam-enam wacana fikrah saya sebentar tadi, Maka dapatlah dedikasikan bahawa ketokohan para sahabat yang dijanjikan syurga oleh Allah ini dapat melahirkan seorang muslim modal insan yang berkepimpinan menurut syariat dan panduan Islam.

Seandainya segala isi yang telah saya kupaskan tadi dibumikan dan dicontohi oleh masyarakat mutakhir ini, maka impian kita untuk melihat modal insan yang berjuang memuliakan Islam hingga hayat yang terakhir dan berkepimpinan persis sahabat Rasullah SAW akan terlaksana.

Sedap sungguh gulai sembilang,
Gulai dibeli di Restoren Haslam,
Untuk melahirkan modal insan terbilang,
Rujuklah panduan model kepimpinan Islam.

Sekian, terima  kasih.





Teratak Firdaus,
Kampung Tasek Junjung

31 Mei 2016, 3:43 pagi



0

Monday, 23 May 2016












Kepimpinan Rasulullah SAW

Definisi kepimpinan dalam Islam adalah merangkumi makna yang luas termasuklah kepimpinan sesama manusia daripada peringkat yang tertinggi sebagai ketua negara kepada kepimpinan yang terendah iaitu mengetuai kerja-kerja yang berpendapatan rendah. Selain daripada itu, menurut beliau lagi menyatakan bahawa kepimpinan dalam Islam juga merangkumi kepimpinan terhadap diri sendiri sebagai hamba Allah dengan mengarah diri ke arah kebaikan, menunaikan amanah kepada Pencipta, manusia, dan alam sekitar. (Ahmad Redzwan Muhammad Yunus, 2000)
Dalam sejarah peradaban dunia, pemimpin yang terulung pada zaman Islam ialah pada zaman Rasulullah SAW. Keagungannya dapat dilihat dari semua bentuk. Rasulullah merupakan pemimpin yang sangat adil dan baginda merupakan seorang pemimpin yang berfikiran panjang dalam melakukan sebarang keputusan untuk negara, agama dan rakyatnya.
Pengiktirafan Kepada Baginda

Gaya kepimpinan Rasullah SAW telah menarik perhatian seorang sarjana dan ahli sejarah Barat bernama Michael Hart telah menulis bahawa orang yang sangat berpengaruh di antara jutaan orang yang  lahir iaitu Muhammad pemimpin Islam; kerana baginda satu-satunya orang dalam sejarah yang berjaya gilang-gemilang dalam dua bidang sekali gus, iaitu kehidupan agama dan melaksanakan pengurusan umat di dunia (Michael Hart, 1978).

Rasulullah SAW menggunakan Al Quran dan wahyu yang diturunkan oleh Allah kepada baginda dalam pentadbiran dan pemerintahan-Nya. Rasulullah juga mengaplikasikan kesemuanya ke dalam pentadbiranya supaya tidak berlakunya sebarang penyelewengan. Undang-undang yang digunakan oleh Rasulullah sangat telus dan amanah kerana ia berpandukan kedua-duanya iaitu Al-Quran dan wahyu yang diterima oleh baginda sebagaimana yang telah terkandung dalam firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat ke-21:
Demi sesungguhnya,adalah bagi kamu pada diri Rasulullah S.A.W itu contoh ikutan yang baik,iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) allah dan (balasan baik) hari akhirat,serta ia pula banyak menyebut dan mengingati Allah".

Dalam kepimpinan Rasulullah boleh dilihat semua usaha yang dilakukan oleh baginda dalam menguruskan negara yang Islam, menyatupadukan masyarakat, memajukan ekonomi negara dan menyebarakn Islam ke seluruh pelusuk dunia. Rasulullah mempunyai sifat yang patut dicontohi oleh pemimpin zaman sekarang. Nabi Muhammad SAW dilahirkan pada 12 Rabiulawal tahun gajah. Tahun Gajah adalah manusia yang agung dan maksum penah dilahirkan dalam peradaban manusia.. 

Nabi Muhammad SAW juga memiliki peribadi yang istimewa. Terdapat dalam dirinya segala sifat yang perlu dicontohi seperti pendakwah, sifat negarawan, ahli sufi, panglima perang, aktivitis sosial yang tinggi serta tidak boleh dibandingkan oleh mana-mana tokoh. Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam  telah berjaya menunjukkan teladan yang baik dan terpuji. Setiap ucapan daripada baginda semuanya berlandaskan sumber Allah dan tindakan baginda penuh kesucian. Contohnya, Rasulullah tidak memilih dalam menegur orang yang berbuat kesilapan termasuk sahabat dan kaum keluarga baginda. 

Keperibadian al-Amin

Keperibadian Rasulullah menghuraikan segala persoalan yang berlegar dalam kehidupan manusia sejagat. Kehidupan Nabi Muhammad SAW perlu dijadikan contoh teladan. Selain itu, penampilan baginda menjadi fokus atau teladan umat baginda. Allah SWT  memuji sifat Nabi Muhammad SAW dengan pelbagai sifat yang terpuji kerana keluhurannya. Dengan itu, Nabi Muhammad SAW telah mendapat gelaran al-Amin yang bermaksud yang beramanah.

Menurut perjalanan sirah hidup Rasulullah SAW, sebelum dari kerasulannya pemimpin Quraish pernah memberi gelaran ‘al-Amin’ kerana ketinggian sifat integriti dan akauntabiliti baginda dalam memberi perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat. Gelaran ‘al-Amin’ ini telah membangkitkan rasa kasih sayang berterusan sebahagian besar masyarakat Quraish kepada Rasulullah. Walau bagaimanapun cabaran yang dihadapi oleh baginda juga cukup hebat. Misalnya Abu Jahal seorang pemimpin kanan Quraish, pernah menawarkan jawatan Raja, perempuan cantik, dan harta kekayaan supaya Rasulullah SAW tidak meneruskan perjuangan Islam. Namun, berdasarkan kekuatan integriti dan maruah kepimpinan Islam, maka Rasulullah SAW menolak semua tawaran itu. Sikap teladan yang ditunjukkan oleh baginda SAW amat perlu diikuti oleh setiap pemimpin yang menjalankan tugasnya.

Nabi Muhammad SAW telah memberikan sumbangan dan tenaga dalam peristiwa pembinaan Kaabah. Contohnya, baginda mengangkat batu dengan tangan baginda sendiri untuk membina kaabah. Perbuatan ini diakui oleh orang Arab Quraisy semasa berlakunya perselisihan faham mengenai perletakkan hajaratul aswad. Nabi Muhammad SAW memanggil semua ketua kabilah di Madinah untuk berjumpa dengan baginda. Baginda telah membuat keputusan dan mewakilkan setiap kaum dengan kabilah mereka. Setiap kabilah diberi peluang untuk memegang setiap penjuru serban Rasulullah SAW. Setiap kabilah meletakkan bersama-sama batu ke tempat asal lalui Rasulullah mengeluarkan batu dari serban baginda dan meletakkan di tempat asalnya kembali. Disitulah berakhirnya perselisihan faham dan bencana dapat dihindarkan. 

Nabi Muhammad SAW merupakan pemimpin yang disegani dan menjadi ikutan sehingga akhir zaman ini. Sifat Rasulullah adalah cerminan dari Al Quran. Dalam suruh Al-Ahzab Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut nama Allah SWT. ”

Kesimpulannya, walaupun Baginda S.A.W sudah tidak ada lagi di dunia ini, tetapi umatnya tetap dijamin tidak akan sesat selama mana mereka berpegang dengan pusaka tinggalannya iaitu Al-Qur’an dan al-Sunnah. Melalui dua sumber ini umat Islam sentiasa terpimpin dalam menghadapi kehidupan di dunia yang penuh cabaran. Rasulullah S.A.W adalah contoh dan model unggul umat Islam. Kredibiliti dan ketrampilan baginda terserlah sebagai seorang bapa mulia, suami mithali, dan pemimpin adil. Mudah-mudahan kita akan menjadi umatnya, yang ingin mengambil iktibar dan contoh dari kehidupan baginda. Inilah sebahagian dari rasa kasih dan cinta kita kepada baginda Nabi Muhammad SAW.

Rujukan

Azzam Abd Al-Rahman. (1983). Keabadian risalah Muhammad. Bandung, Indonesia:  PT. Iqra.
Hassan Ahmad. (2008). Institusi Islam. Selangor: Syarikat Percetakan Indera Putra Sdn.Bhd.
Ziauddin Sardar. (1990). Masa hadapan Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 
Ahmad Redzuwan Muhammad Yunus. (2000). Pengantar kepimpinan Islam. Bangi, Selangor: Pusat Pengajian Jarak Jauh UKM..
Michael Hart (1978).  The 100: a ranking of the most influential persons in history, revised and updated for the nineties. New York: Carol Publishing.





0