Mengenali Puan Hajah Khuzaimah Sulaiman hanya melalui makalah penulisan dan perhubungan di alam maya melalui pautan e-mail membuatkan penulis merasa ghairah untuk mencoretkan pengalaman beliau mentadbir SMKA SHAMS daripada sekolah yang dianggap 'biasa-biasa' kepada sekolah 'luar biasa".
Bukan mudah untuk menjadi pentadbir bagi sesebuah sekolah yang mempunyai label Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) serta Kuluster Kecemerlangan dan merupakan sekolah yang pernah dinobatkan sebagai 10 terbaik pencapaian cemerlang SPM (Kategori Sekolah Menengah Harian/ SMKA).Dari seorang guru biasa, selangkah demi selangkah "permata emas" ini yang lebih mesra dengan panggilan "ustazah" ini telah mengaplikasikan dan mengasah bakat beliau dalam mentadbir SMKA SHAMS ke mercu jaya.
Gelagat kepemimpinan dalam pengurusan sesebuah organisasi dapat dilihat dari perspektif teori-teori dalam bidang kepemimpinan itu sendiri. Rudner (1966) telah mentakrifkan teori sebagai satu himpunan proposisi yang berkait secara sistematik dan boleh diuji secara empirikal. Dalam ruang penulisan bagi kali ini, penulis cuma mengambil dua contoh pendekatan
teori dalam bidang kepemimpinan iaitu karismatik dan perwatakan.
Teori Karisma
Teori kepemimpinan karisma merujuk kepada sifat peribadi manusia iaitu berkarisma atau sifat dan pembawaan menarik yang ada pada diri seseorang. Conger dan Kanungo (1987) mencadangkan sebuah teori kepemimpinan karismatik berdasarkan andaian bahawa karisma itu adalah penyumbang kepada suatu fenomena, kemudiannya suatu teori versi baru dikemukakan oleh Conger dan Kanungo (1987). Menurut teori ini, penyumbang kepada sifat karisma pada seseorang pemimpin ditentukan oleh tingkah laku pemimpin itu sendiri samada melalui kemahirannya atau melalui keadaan.
Orang yang mempunyai sifat kepemimpinan jenis ini ialah mereka yang mempunyai sifat-sifat peribadi yang tertentu yang dengan sendirinya muncul sebagai pemimpin besar yang boleh menempa sejarah (Abd Ghani, 2010). Teori kepemimpinan karisma memperoleh pengaruh yang kuat daripada idea tokoh pengurusan yang bernama Max Weber (Abd Ghani, 2010).
Menurut Weber (1947) karisma merupakan satu bentuk pengaruh yang bukan berbentuk kuasa tradisi atau formal tetapi lebih kepada persepsi subordinat bahawa pemimpin dianugerahkan sifat-sifat luar biasa.
Menurut Weber (1947) lagi kepemimpinan karisma berlaku apabila wujudnya satu krisis sosial, dan dalam masa yang sama seorang pemimpin muncul dan boleh menarik perhatian subordinatnya dengan satu visi yang memberi peluang terhadap penyelesaian masalah yang berlaku. Subordinat yang yakin dengan visi pemimpin karisma, mengalami beberapa kejayaan yang membuatkan sesuatu visi kelihatan mampu dicapai. Dalam hal ini, Ustazah Khuzaimah akan melakukan terlebih dahulu sesuatu perkara yang akan diarahkan kepada warga sekolah.
Beramal Sebelum Mengarah
Ianya diperkukuskan lagi dengan idea Weber (1947) tentang kepemimpinan karisma dengan meletakkan faktor karisma sebagai salah satu faktor dalam kepemimpinan transformasi yang menampilkan seorang pemimpin itu sebagai role model dan mempunyai keupayaan membentuk misi dan visi sesuatu organisasi serta mendapat penghormatan. Dalam hal ini, Ustazah Khuzaimah telah menunjukkan peribadi dan akhlak yang mulia terlebih dahulu sebelum beliau menyampaikan sesuatu arahan kepada warga sekolah.
Misalnya, pada suatu hari, seorang Pekerja Am Rendah (PAR) telah dinaikkan pangkat menjadi Pembantu Tadbir Rendah (PTR). Antara skop tugas PTR adalah menaip surat berkaitan pengurusan dan pentadbiran, namun PTR yang baharu ini tidak mempunyai kemahiran dalam bidang tersebut. Berbekalkan sejumlah wang dari gajinya sendiri, Puan Khuzaimah mendaftarkan PTR tersebut ke sebuah pusat komputer dan memberikan pelepasan kepada PTR tersebut pada waktu petang semasa hari bekerja untuk mengikuti kelas kemahiran menaip sehingga mahir. Selepas PTR tadi tamat kursus, dia berulang kali mengucapkan terima kasih kepada Ustazah Khuzaimah kerana memberikan dorongan yang amat baik kepadanya.
Hal ini juga dibuktikan dengan ungkapan salah seorang murid SMKA SHAMS, Mohamad Ikhwan bin Ismail yang berbunyi:
"Untukmu Ustazah, daripada kami anak-anak SMKA SHAMS, terima kasih atas segalanya. Kata-kata azimatmu "Anak yang baik mendengar kata"adalah perangsang dan ubat paling mujarab dang engkau tetap dalam memori. Kenangkanlah kami dalam doamu, dan ketahuilah kami akan merinduimu".
Ianya diperkukuhkan lagi dengan bait-bait puisi nukilan Siti Aishah binti Abdullah Sani
Namun,
Setelah dirimu kami kenali,
Terasa betapa tingginya kasihmu kepada kami,
Akan kami sematkan kasihmu dalam dada,
Akan kami pautkan segala ilmu dalam minda,
Akan kami ungkaikan segala inspirasimu dalam jiwa.
Kedua-dua penyataan dalam ungkapan ucapan dan bait puisi diatas menunjukkan bahawa terdapat pengiktirafan dalam kalangan anak didik beliau mengiktiraf kepimpinan pengetua mereka seperti penyayang, berwawasan, motivator dan sumber inspirasi kepada mereka.
Insan yang hebat lahir dari perwatakan yang hebat
Pendekatan teori perwatakan menegaskan tentang pentingnya mempunyai seorang ketua yang memiliki perwatakan yang hebat (Northouse, 2004). Teori ini menekankan bahawa seseorang itu boleh menjadi pemimpin jika dia memiliki kehebatan pada personalitinya, mempunyai kemahiran, mempunyai matlamat yang jelas dan mempunyai nilai (Yukl, 1998). Andaian yang dibuat dalam pendekatan ini ialah sesetengah orang adalah pemimpin semula jadi yang memiliki kelebihan yang tidak terdapat pada orang lain.
Berikut ialah tiga watak yang dapat dikaitkan dengan keberkesanan kepemimpinan seseorang iaitu personaliti, motivasi dan kemahiran. Personaliti merupakan kecenderungan seseorang untuk berkelakuan tertentu, mempunyai keyakinan diri yang tinggi, sentiasa boleh menangani sebarang tekanan, mempunyai kematangan emosi yang stabil dan memiliki integriti yang hebat (Yukl, 1998). Kouzes dan Posner (2002) telah mengkaji satu set sifat pemimpin yang dikehendaki oleh sesebuah masyarakat. Kajian Kouzes dan Posner (2002) mendapati antara sifat-sifat yang paling dikehendaki diseluruh dunia ialah jujur, kompeten, berwawasan, memberi inspirasi, berani, pintar, adil, berfikiran terbuka, berterus-terang, berfikiran tajam, matang, prihatin, bekerjasama, bercita-cita tinggi, boleh dipercayai, menyokong, mempunyai azam yang kuat, boleh mengawal diri, taat dan tidak bergantung kepada orang lain.
Dalam hal ini, Ustazah Khuzaimah sering bertindak sebagai motivator dan penggerak budaya kerja cemerlang. Berbagai program telah disusun dan diatur bagi menerapkan sifat-sifat yang dikehendaki di seluruh dunia dalam kalangan warga sekolah. Antaranya Kursus Konsultansi Dalaman dan program yang dijalankan pada setiap minggu. Program ini bertujuan membangkitkan kesedaran dalam diri dan fikiran tanpa paksaan serta dipacu rasa beriman kepada Tuhan.
Zidni Ilman bermaksud "Wahai Tuhanku , tambahilah ilmuku". Ianya mengambil berkat lafaz doa yang diajarkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW selepas malaikat Jibrail menyampaikan wahyu kepada baginda. Apabila malaikat Jibrail menyampaikan wahyu kepada baginda, baginda akan membaca dan menghafaznya sambil berdoa agar Allah SWT menambahkan lagi ilmu bagi memahami serta mengamalkannya. Peristiwa tersebut dirakamkan Allah SWT dalam Surah Taha, ayat 114 yang bermaksud:
"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca al-Qur'an sebelum selesai dibacakan Jibrail kepadamu, dan berdoalah dengan berkata, 'Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku"
Keberkesanan berbagai program yang dijalankan hasil cetusan idea Ustazah Khuzaimah ini terbukti dengan ungkapan oleh salah seorang guru, Puan Hajah Aminah pada hari-hari terakhir persaraan beliau :
"Akan tinggallah kita, semangat hampir tiada, terkedu rasa apabila kita kehilangan ketua yang selama ini sentiasa berusaha menyedarkan kita apa erti kerja. Tanpa kita sedar,guru SMKA SHAMS menyerap budaya kerja cemerlang selama ini. Dalam hati kita warga SMKA SHAMS, sudah lama terpahat di hati bahawa SMKA SHAMS ada kualiti"
Kesimpulannya, walau apapun kedudukan kita dalam sesebuah institusi, kita semua adalah pemimpin. Setiap pemimpin sewajarnya memotivasikan orang bawahan dan sekelingnya dan menunjukkan akhlak yang baik. Ini kerana pemimpin yang bermotivasi akan mudah untuk memotivasikan orang disekelilingnya.
Rujukan:
1. Al Qur'an
2. Khuzaimah Sulaiman(2012),
Serlahkan Aura Guru Super. Selangor: PTS Profesional Sdn. Bhd.
3. Abdul Ghani Kanesan Abdullah. (2010).
Transformasi Kepimpinan Pendidikan. Batu Caves: PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd.