Friday 3 June 2016

Esei Kepimpinan Islam : Ketokohan Sahabat Rasullah SAW Model Kepimpinan Islam

| | Leave a Comment


KETOKOHAN SAHABAT RASULULLAH MODEL KEPIMPINAN ISLAM

Pendahuluan

Sahabat Rasullah SAW merupakan antara contoh yang terbaik dalam menterjemahkan maksud kepimpinan Islam dalam kehidupan seharian mereka. Mereka telah dididik, diasuh dan ditarbiyah secara lansung oleh seorang tokoh yang mendapat pengiktirafan dunia iaitu Nabi Muhammad SAW. Michael H. Hart (1978) telah meletakkan Rasulullah SAW sebagai manusia yang berada di kedudukan pertama  dalam senarai manusia yang dianalisisnya sebagai manusia yang paling berpengaruh dalam sejarah ketamadunan dunia.

Kepimpinan menurut Greenberg & Barron (1995)  adalah seseorang yang menentukan matlamat sesuatu organisasi dan strategi untuk mencapai matlamat organisasi yang telah ditetapkan. Hujah ini dikuatkatkan dengan pendapat Robbins (2001) yang menyatakan bahawa kepimpinan adalah kemampuan seseorang mempengaruhi pasukan kerja ke arah pencapaian matlamat organisasi.
Dalam Islam, aspek kepimpinan telah dinyatakan dengan jelas melalui hadith baginda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud;

“Setiap kamu adalah pemimpin yang akan diminta pertanggungjawaban atas kepemimpinannya. Seorang amir yang mengurus keadaan rakyat adalah pemimpin. Ia akan diminta pertanggungjawaban tentang rakyatnya. Seorang laki-laki adalah pemimpin terhadap keluarganya di rumahnya. Seorang wanita adalah pemimpin atas rumah suaminya. Ia akan diminta pertanggungjawaban tentang hal mereka itu. Seorang hamba adalah pemimpin terhadap harta benda tuannya, ia akan diminta pertanggungjawaban tentang harta tuannya. Ketahuilah, kamu semua adalah pemimpin dan semua akan diminta pertanggung jawaban tentang kepemimpinannya”(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Seterusnya, ketokohan sahabat Rasulullah SAW merujuk kepada kepimpinan tokoh-tokoh yang beriman dan pernah bertemu dengan Nabi Muhammad SAW manakala model kepimpinan Islam pula ialah acuan suri tauladan yang baik bagi melahirkan manusia yang berkeupayaan memimpin berlandaskaan syariat Islam.
Oleh itu, terdapat enam kata kunci yang akan dijelaskan. Pertama, keimanan Bilal bin Rabah; kedua, kepatuhan dan kesetiaan Abu Bakar As-Siddiq; ketiga, kepimpinan dan ketegasan Umar al-Khattab; keempat, Keluasan Ilmu Ali bin Abi Talib; kelima, ketinggian akhlak dan sikap dermawan Uthman bin Affan dan keenam, wawasan akhirat Khalid al-Walid.

Ketokohan Sahabat Rasulallah SAW Dan Implikasinya Di Malaysia.
Ahad, Ahad, Ahad. (Allah yang satu) Kalimah tauhid inilah yang membasahi lidah sahabat Rasulullah Bilal bin  Rabah tatkala dirinya disiksa dan diheret mengelilingi Kota Mekah di bawah terik mentari di tengah-tengah padang pasir. Namun, keimanan yang kental telah merasuk jiwa Bilal lantas dirinya sedikit pun tidak berpaling daripada mengesakan Allah. Allah berfirman  yang bermaksud,
“Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa” (Al-Imran, 3:102)
Mengambil contoh peristiwa kemalangan maut di Turki yang melibatkan pelajar Malaysia, Allahyarham Muhammad Ammar sewaktu dilannggar ambulan hospital yang bergerak laju sehingga menyebabkan kemalangan maut.  Kedua ibu-bapanya telah menerima kehilangan anak ini dengan penuh yakin bahawa ada hikmah terselindung di sebalik ujian.

Seterusnya adalah kepatuhan dan kesetiaan Saidina Abu Bakar merupakan tokoh sahabat yang paling akrab dan dikasihi oleh Rasulullah. Setianya Abu Bakar sanggup bersama-sama Rasullah SAW ketika berada di Gua Thur (al-Buti,1983: 222-224). Beliau mengambil risiko mempertahankan Rasulllah SAW dengan menutup lubang kala jengking di  Gua Thur dalam peristiwa hijrah dan patuhnya beliau apabila sanggup menderma seluruh hartanya untuk perjuangan Islam

Ketika ditanya oleh baginda Nabi Muhammad SAW ketika beliau menginfakkan hartanya untuk peperangan Tabuk, apakah yang telah kamu tinggalkan kepada keluarga kamu wahai Abu Bakar? Dijawab dengan senang hati olehnya, aku tinggalkan buat keluargaku Allah dan Rasul.
Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud,

 “Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan pemerintah di antara kamu” (an-Nisa,4:59)

Seharusnya, kita selaku rakyat Malaysia haruslah mentaati pemimpin selagi mana mereka beriman kepada Allah dan Rasul dan tidak mengajak rakyatnya melakukan perkara yang mungkar.
Seterusnya, kepimpinan dan ketegasan Saidina Umar al-Khattab. Sikap keberanian Umar al-Khattab terbukti ketika beliau mengisytiharkan keislamanya secara terang-terangan. Pemimpin berjiwa rakyat ini juga sanggup menyamar sebagai rakyat marhaen untuk meninjau keadaan rakyatnya.  Keberanian dan kezuhudan mantan Menteri Besar Kelantan Almarhum Dato Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam menyantuni dan mendekati rakyat di bawahnya serta prinsipnya yang jelas amatlah digeruni rakan dan lawan. Sikap pemimpin yang sebeginilah harus menjadi contoh generasi baharu kini untuk menjadi bijaksana dalam segenap aspek. Hal ini bersesuaian dengan hadith  Rasulullah SAW yang bermaksud:



كلكم راع وكلكم مسؤول عن رعيته

Maksudnya “Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya”.


Keluasan ilmu yang dimiliki oleh Saidina Ali bin Abi Talib juga merupakn model kepimpinan Islam. Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Pepatah ini adalah bertepatan dengan didikan yang telah diberi oleh Nabi Muhammad kepada Ali b. Abi Talib semenjak beliau kecil lagi. Oleh yang demikian, beliau merupakan antara sahabat yang memiliki ketinggian ilmu sehingga dilantik menjadi penulis wahyu. Contoh ikon remaja yang mengambil inspirasi ketokohan Saidina Ali KWJ adalah Nik Nur Madihah. Nik Nur Madihah merupakan  seorang pelajar cemerlang SPM 2008 yang telah mendapat keputusan cemerlang 20 A pasti telah mencontohi Saidina Ali KWJ ini dalam kesungguhan menuntut ilmu selaras dengan hadith Nabi Muhammad SAW yang bermaksud,

طلب العلم فريضة على كل مسلم

Menuntut ilmu itu wajib kepada setiap orang Islam (Riwayat Bukhari)


Keempat, ketinggian akhlak dan sikap dermawan Uthman bin Affan. Sikap dan keperibadian Saidina Uthman yang dermawan dan mulia terbukti apabila beliau telah membeli sebuah sumur ‘Bir Raumah’ lantas mewakafkan bagi keperluan umat Islam. Rasulullah SAW sangat mengasihi Uthman sehingga menyifatkanya sebagai teman baginda di dalam syurga. Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary, seorang ikon jutawan Islam di Malaysia telah menubuhkan Yayasan Bukhari yang berperanan membantu golongan miskin dan menyokong perkembangan seni, pendidikan dan budaya Islam bertepatan dengan firman Allah SWT  yang bermaksud:

“Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan taqwa, dan   janganlah tolong menolong dalam berbuat dosa dan pergaduhan..”(al-Maidah, 5:2)


Contoh ketokohan sahabat Nabi yang terakhir adalah wawasan akhirat Khalid al-Walid. Matlamat akhir bagi setiap umat Islam adalah untuk mendapat kebahagiaan di akhirat dan inilah wawasan Khalid al-Walid, sahabat Rasulullah SAW yang mendapat gelaran pedang Allah. Beliau sangat bercita-cita untuk mati syahid di medan peperangan dan sikapnya sangat positif dalam menghadapi setiap rintangan perjuangan. Walau bagaimanapun, impian tersebut tidak tercapai kerana perancangan Allah mengatasi segalanya. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud:

“Mereka merancang, sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik perancang”     (al-Imran, 2:54)


Khalid al-Walid telah meninggal dunia di atas katil di kamar tidurnya. Demikianlah kekuasaan Allah dan manusia akan kembali kepada-Nya sesuai dengan kemahuan-Nya. Mengambil contoh daripada ketokohan wawasan akhirat Khalid al-Walid adalah para anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Pengorbanan parajurit Angkatan Tentera Malaysia yang berjuang malah ada yang terkorban sewaktu peristiwa pencerobohan di Lahad Datu, Sabah adalah salah satu contoh rentetan kepada perjuangan tanpa getir. Namun, wawasan akhirat Khalid al-Walid ketika berjuang di medan jihad, wajar dijadikan contoh oleh kita semua.

Kesimpulan Dan Rumusan


Akhir sekali, berdasarkan contoh-contoh yang telah diberikan berdasarkan ketokohan sahabat Rasullah SAW ini dapatlah difahami bahawa ketokohan para sahabat yang dijanjikan syurga oleh Allah ini yang membentuk model kepimpinan yang mengikut acuan dan syiar Islam. Dengan sifat-sifat terpuji yang ditonjolkan oleh para sahabat baginda, mereka telah melaksanakan tanggungjawab memimpin ummah dengan berjaya.  Ketokohan mereka dipenuhi dengan contoh dan teladan yang bukan sedikit yang sewajarnya dicungkil dan dihayati oleh seluruh umat manusia, terutamanya oleh umat Islam, khususnya mereka yang merasakan diri mereka pejuang dan penggerak Islam.

Rujukan

Abdul Latip Talib. (2009). Umar al-Khattab reformis dunia Islam. Kuala Lumpur: PTS Litera Utama Sdn Bhd.
Jamal Mohamad Lokman Sulaiman. (1999). Biografi Tuan Guru Dato Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat seorang ulama serta ahli politik Malaysia abad ke 20. Subang Jaya, Selangor: Sulfa Human Resources & Development.
Michhael H Hart (1978) The 100 a rangking of most influential person in history.  New York: Hart Publishing Company,Inc.
Mufti Ahmed Ebrahim Bemat. (2004). Insan teladan sepanjang zaman. Kuala Lumpur, Malaysia: Penerbit Darul Nu’man.
Sa’id Ramadhan al-Buti (1983) Fiqh sirah, Shah Alam, Selangor: Dewan Pustaka Fajar.


0 comments:

Post a Comment