Friday 3 June 2016

Contoh Teks Syarahan Kepimpinan

| | Leave a Comment




Tajuk Syarahan: KETOKOHAN SAHABAT RASULULLAH MODEL KEPIMPINAN ISLAM

Oleh : Mohamad Muhaimin bin Mohamad Zaki

(puisi)
Hormatilah ibumu sesungguh hati,
Jasa mereka tidak terperi,
Assalamualaikum ucapan diberkati,
Ketokohan sahabat Rasullah,
Model kepimpinan Islam tajuk diberi.


Bismillahirrahmanirrahim….

Terima kasih buat saudara/i pimpinan majlis, yang dimuliakan barisan para pensyarah yang merangkap hakim yang arif lagi bijaksana seterusnya para hadirin tetamu majlis syurga yang dirahmati Allah SWT sekalian.

Alhamdulilah bersyukur kita kehadrat Allah tatkala kita dipertemukan dalam satu majlis keilmuan yang mana para malaikat turut berpusu-pusu duduk bersama kita, berzikir  dan  mendengar  titipan ilmu buat bekalan di akhirat kelak.

Insya-allah, pada pagi di bulan Syaaban yang barakah ini, izinkan saya untuk cuba membawa hati-hati  para hadirin agar turut serta bersama saya menyelami, mendalami akan satu mauduk Islami  yang berjudul

“KETOKOHAN SAHABAT RASULULLAH MODEL KEPIMPINAN ISLAM”
Namun sebelum itu ayuh kita perdengarkan dahulu apakah definisi di sebalik tajuk syarahan saya. Frasa Ketokohan Sahabat Rasulullah merujuk kepada kepimpinan tokoh-tokoh yang beriman dan pernah bertemu dengan Nabi Muhammad SAW manakala Model Insan Kepimpinan Islam pula ialah acuan suri tauladan yang baik bagi melahirkan manusia yang berkeupayaan memimpin berlandaskaan syariat Islam. Kepimpinan dalam Islam termasuklah iman, ukhuwah dan keselarasan dalam memimpin.

Hadirin yang dimuliakan Allah sekalian,

Meniti wacana fikrah saya yang pertama, “Keimanan Bilal bin  Rabah Model Kepimpinan Islam”.
Ahad, Ahad, Ahad.. Kalimah tauhid inilah yang membasahi lidah sahabat Rasulullah Bilal bin  Rabah tatkala dirinya disiksa dan diheret mengelilingi Kota Mekah di bawah terik mentari di tengah-tengah padang pasir. Namun, keimanan yang kental telah merasuk jiwa Bilal  lantas dirinya sedikit pun tidak berpaling daripada mengesakan Allah. Allah berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 102,
bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa

Masihkah kita ingat akan peristiwa kemalangan maut di Turki yang melibatkan pelajar  Malaysia, Allahyarham Muhammad Ammar? Kedua ibu bapanya telah menerima kehilangan anak ini dengan penuh yakin bahawa ada hikmah terselindung di sebalik ujian . Maka, jelaslah terbukti bahawa  Keimanan Bilal bin Rabah Model Kepimpinan Islam”.

Hadirin pencetus minda bijaksana,
Wacana fikrah saya yang kedua ialah “ Kepatuhan dan Kesetiaan Abu Bakar As-Siddiq Model Kepimpinan Islam”.
Saidina Abu Bakar merupakan tokoh sahabat yang paling akrab dan dikasihi oleh Rasulullah. Setianya Abu Bakar saat menutup lubang kala jengking di  Gua Thur dalam peristiwa hijrah dan patuhnya beliau apabila sanggup menderma seluruh hartanya untuk perjuangan Islam.
Ketika ditanya oleh baginda Nabi Muhammad SAW ketika beliau menginfakkan hartanya untuk peperangan Tabuk, apakah yang telah kamu tinggalkan kepada keluarga kamu wahai Abu Bakar?
Dijawab dengan senang hati olehnya, aku tinggalkan buat keluargaku Allah dan Rasul.

Firman Allah dalam surah an-Nisa ayat 59,

Maksudnya : “Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan pemerintah di antara kamu

Seharusnya, kita selaku rakyat Malaysia haruslah mentaati pemimpin selagi mana mereka beriman kepada Allah dan Rasul dan tidak mengajak rakyatnya melakukan perkara yang mungkar. Oleh itu, ternyata Kepatuhan dan Kesetiaan Abu Bakar As-Siddiq Model Kepimpinan Islam.
Hadirin yang dirahmati Allah sekalian,
Wacana fikrah saya yang ketiga di bawah lembayung frasa “ Kepimpinan dan Ketegasan Umar al-Khattab, Model Kepimpinan Islam”.
Sikap keberanian Umar al-Khattab terbukti ketika beliau mengisytiharkan keislamanya secara terang-terangan. Pemimpin berjiwa rakyat ini juga sanggup menyamar sebagai rakyat marhaen untuk meninjau keadaan rakyatnya.  Keberanian dan kezuhudan mantan Menteri Besar Kelantan Almarhum Dato Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam menyantuni dan mendekati rakyat di bawahnya serta prinsipnya yang jelas amatlah digeruni rakan dan lawan. Sikap pemimpin yang sebeginilah harus menjadi contoh generasi baharu kini untuk menjadi bijaksana dalam segenap aspek. Hal ini bersesuaian dengan hadis Rasulullah SAW,



كلكم راع وكلكم مسؤول عن رعيته

Maksudnya “Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya”.

Terbukti di sini bahawa, “Kepimpinan dan Ketegasan Umar al-Khattab Model Kepimpinan Islam”.

Hadirin penjana minda berwawasan,

Wacana fikrah saya yang keempat  di bawah lembayung kata “Keluasan Ilmu Ali b. Abi Talib, Model Kepimpinan Islam.

Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Pepatah ini adalah bertepatan dengan didikan yang telah diberi oleh Nabi Muhammad kepada Ali b. Abi Talib semenjak beliau kecil lagi. Oleh yang demikian, beliau merupakan antara sahabat yang memiliki ketinggian ilmu sehingga dilantik menjadi penulis wahyu. Nik Nur Madihah seorang pelajar cemerlang SPM 2008 yang telah mendapat keputusan cemerlang 20 A pasti telah mencontohi Saidina Ali Karamallahu wajhah ini dalam kesungguhan menuntut ilmu selaras dengan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari,

طلب العلم فريضة على كل مسلم

Maksudnya : Menuntut ilmu itu wajib kepada setiap orang Islam ( lelaki atau perempuan )

Maka, jelaslah bahawa Keluasan Ilmu Ali b. Abi Talib Model Kepimpinan Islam.

Hadirin penjana transformasi negara,

Wacana fikrah saya yang kelima ialah “ Ketinggian Akhlak dan Sikap Dermawan Uthman b. Affan Model Kepimpinan Islam”

Sikap dan keperibadian Saidina Uthman yang dermawan dan mulia terbukti apabila beliau telah membeli sebuah sumur ‘Bir Raumah’ lantas mewakafkan bagi keperluan umat Islam. Rasulullah sangat mengasihi Uthman sehingga menyifatkanya sebagai teman baginda di dalam syurga. Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary, seorang ikon jutawan Islam di Malaysia telah menubuhkan Yayasan Bukhari yang berperanan membantu golongan miskin dan menyokong perkembangan seni, pendidikan dan budaya Islam bertepatan dengan firman Allah SWT  dalam surah al-Maidah ayat 2 ,

“dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan taqwa, dan janganlah tolong menolong dalam berbuat dosa dan pergaduhan..”

Hadirin yang dihormati sekalian,

Wacana fikrah saya yang terakhir ialah “ Wawasan Akhirat Khalid al-Walid, Model Kepimpinan Islam ”.
Matlamat akhir bagi setiap umat Islam adalah untuk mendapat kebahagiaan di akhirat dan inilah wawasan Khalid al-Walid, sahabat Rasulullah yang mendapat gelaran pedang Allah. Beliau sangat bercita-cita untuk mati syahid di medan peperangan dan sikapnya sangat positif dalam menghadapi setiap rintangan perjuangan. Walau bagaimanapun, impian tersebut tidak tercapai kerana perancangan Allah mengatasi segalanya.

Allah berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 54

Mereka merancang, sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik perancang

Khalid telah meninggal dunia di atas katil di kamar tidurnya. Demikianlah kekuasaan Allah dan manusia akan kembali kepada-Nya sesuai dengan kemahuan-Nya. Pengorbanan parajurit Angkatan Tentera Malaysia yang berjuang malah ada yang terkorban sewaktu peristiwa pencerobohan di Lahad Datu, Sabah adalah salah satu contoh rentetan kepada perjuangan tanpa getir. Namun, wawasan akhirat Khalid ketika berjuang di medan jihad, wajar dijadikan contoh seterusnya membuktikan bahawa Wawasan Akhirat Khalid al-Walid, Model Kepimpinan Islam.

Akhir kalam, dengan mengambil keenam-enam wacana fikrah saya sebentar tadi, Maka dapatlah dedikasikan bahawa ketokohan para sahabat yang dijanjikan syurga oleh Allah ini dapat melahirkan seorang muslim modal insan yang berkepimpinan menurut syariat dan panduan Islam.

Seandainya segala isi yang telah saya kupaskan tadi dibumikan dan dicontohi oleh masyarakat mutakhir ini, maka impian kita untuk melihat modal insan yang berjuang memuliakan Islam hingga hayat yang terakhir dan berkepimpinan persis sahabat Rasullah SAW akan terlaksana.

Sedap sungguh gulai sembilang,
Gulai dibeli di Restoren Haslam,
Untuk melahirkan modal insan terbilang,
Rujuklah panduan model kepimpinan Islam.

Sekian, terima  kasih.





Teratak Firdaus,
Kampung Tasek Junjung

31 Mei 2016, 3:43 pagi



0 comments:

Post a Comment