Monday 18 April 2016

BUDAYA KEPIMPINAN LESTARI OLEH PGB DI SEKOLAH

| | Leave a Comment


Kebiasaannya, sesebuah organisasi atau institusi yang cemerlang dipimpin oleh pemimpin yang berkaliber dan berwawasan. Supian (2012) menyatakan kecemerlangan akademik sahaja masih tidak mampu memenuhi aspirasi negara. Kepetahan komunikasi, ketokohan sebagai ketua, tingkah laku yang matang dalam mengurus amat diperlukan bagi mencapai anjakan transformasi yang diharapkan pada abad 21 ini. Pengetua dan Guru Besar (PGB) yang mampu menguasai ciri-ciri yang dinyatakan akan dapat melonjakkan institusi pendidikan ke tahap antarabangsa. Dalam al-Qur’an, Allah SWT telah menjelaskan mengenai aspek kepimpinan yang bermaksud:


Dan dia lah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian (yang lain) beberapa derajat, untuk mengujimu tentang apa yang diberikan-Nya kepadamu. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat siksaan-Nya dan Sesungguhnya dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (al-An’am,  6:165)


Kepimpinan yang baik akan menyebabkan sumber manusia atau staf di bawah tanggungjawab pemimpinnya akan berasa gembira dengan tugas mereka. Kesannya, mereka menjadi pekerja yang produktif kepada organisasi. Menurut Zabidi Dun dan Mamah Muhamad (1996) sesebuah organisasi atau institusi  memerlukan tiga sumber utama untuk perlaksanaan fungsinya iaitu sumber fizikal, kewangan dan sumber manusia. Tanpa ketiga-tiga sumber ini, organisasi tidak akan mampu mencapai matlamat dengan berkesan terutamanya bagi negara yang sedang dalam proses peralihan ke arah negara berpendapatan tinggi seperti Malaysia dan kebanyakkan negara membangun yang lain.
(Gambar Hiasan)

Di sekolah, pemimpin kepada institusi di bawah kawalan mereka adalah pengetua/ guru besar (PGB). Oleh yang demikian, (PGB) selaku ketua jabatan perlu memberi perhatian kepada kewujudan persekitaran kerja yang kondusif dan selesa agar prestasi kerja guru meningkat sekaligus kemenjadian murid dapat direalisasikan. Menurut Kopelman et al. (1990) sebarang perubahan amalan pengurusan sumber manusia melalui gaya kepimpinan yang berkesan yang bertujuan mempertingkatkan produktiviti pekerja akan mengubah ikIim organisasi sesebuah organisasi. Iklim organisasi pula akan mempengaruhi secara langsung atau tidak langsung prestasi kerja kakitangan di sesuatu organisasi. Elemen-elemen yang menjadi penentu tahap prestasi kerja kakitangan adalah motivasi, latihan, kebolehan dan kemahiran, struktur ganjaran, nilai kerja, sokongan, perhubungan, suasana tempat kerja, sumber yang sedia ada dan pengaruh persekitaran. Oleh yang demikian, kepimpinan lestari dalam kalangan (PGB) haruslah juga mempunyai semua elemen yang berupaya meningkatkan prestasi kerja guru dan warga sekolah.

Kepimpinan lestari sangat bersesuaian dengan hasrat kerajaan dalam menjayakan transformasi pendidikan ini. Menurut Supian (2012),  model kepimpinan lestari masih kurang diamalkan di kebanyakan sekolah,namun begitu model ini mampu memberi kesan kepada pengurusan sekolah dalam jangka masa panjang.

PGB selaku pemimpin juga perlu mengamalkan sikap keterbukaan terhadap cetusan idea atau gagasan baru. Tugas utama para pendidik hari ini adalah untuk melahirkan generasi pelajar yang memiliki daya fikir yang tinggi, kreatif dan inovatif, bagi memastikan mereka mampu menghadapi sebarang keadaan dan cabaran. Di sinilah pentingnya kemahiran berfikir aras tinggi memainkan peranannya dalam setiap kehidupan. Jadi, kita perlu memikirkan sesuatu dalam hal ini, agar generasi kita yang akan datang lebih bersedia untuk menelusuri cabaran langit terbuka dengan jayanya. Hal ini telah dinyatakan dalam al-Qur’an yang bermaksud:

Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman: "Sesungguhnya aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia".(al-Baqarah, 2:124)


Seterusnya, dimensi membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dalam kepimpinan lestari perlulah dihayati dan diamalkan bukan sahaja kepada PGB, kakitangan guru dan bukan guru malah meresap ke jiwa para pelajar. Malahan, kepimpinan yang dinamik juga akan menjadi suri tauladan sekiranya PGB menjadi qudwah hasanah (ikutan terpuji) seterusnya menjadi role model kepada warga sekolah. Seharusnya, prinsip iqra dan pembelajaran sepanjang hayat wajar diaplikasikan terlebih dahulu oleh PGB agar budaya ilmu akan sentiasa berkembang dalam kalangan warga sekolah. Ini bertepatan dengan sabdaan Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap muslim (Riwayat Ibnu Majah, Hadith No. 224)

Budaya kerja yang cemerlang seharusnya menjadi indikator penting kepada PGB supaya sekolah yang dipimpin mencapai sasaran yang ditetapkan. Ini penting supaya visi dan misi yang menjadi sasaran sekolah dapat membawa organisasi yang dipimpin oleh guru besar ke arah yang lebih baik. Beberapa inisiatif yang telah diperkenalkan oleh kerajaan seperti Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan Tawaran Baru (Bai’ah) boleh dijadikan sasaran untuk dicapai oleh PGB. Inisiatif-inisiatif ini menuntut setiap PGB mengekalkan keunggulan dalam semua bidang pendidikan dalam jangka masa yang panjang. Namun, dalam Islam, niat yang ikhlas lebih ditekankan berbanding kenikmatan dunia yang sementara.

Selain itu, kepimpinan di  sekolah perlu sentiasa dinamik dalam mengisi harapan masyarakat dan negara. Dalam konteks ini, pembangunan profesionalisme berterusan melalui latihan dalam perkhimatan atau in-house training bagi meningkatkan kemahiran merupakan faktor penting yang harus diberi perhatian. Kepentingan latihan dan pembangunan sumber manusia dalam sesebuah organisasi turut dijelaskan oleh Sergiovanni (1994). Menurut beliau, latihan yang berbentuk umum seperti Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) yang menjadi kealaziman bagi penjawat awam sahaja tidak mencukupi. Sebaliknya, PGB perlu memberi penekanan kepada pembangunan profesional tetapi turut memperbaharui strategi peningkatan mengikut keperluan semasa.

Seterusnya, PGB juga perlu menjaga kredibiliti, integriti dan ketrampilan diri masing-masing kerana segala tindak-tanduk dan perlakuan kita sentiasa diperhatikan bukan sahaja oleh seluruh warga sekolah tetapi juga pelanggan-pelanggan luar khususnya komuniti masyarakat. Semua program yang dilaksanakan oleh guru besar perlu memberi impak yang tinggi kepada sekolah masing-masing.

Oleh yang demikian, Hargreaves dan Fink (2003) menyarankan agar kepimpinan lestari perlu menjadi komitmen dan keutamaan semua pemimpin sekolah dalam melaksanakan tugas-tugas mereka. Kesimpulannya, kepimpinan lestari haruslah menjadi amalan setiap PGB agar imbuhan dan ganjaran yang telah diberikan oleh kerajaan membuahkan hasil yang optimum.

Bibliografi:

Hargreaves, A dan Fink, D. (2003). Sustaining Leadership.Phi Delta Kappan

Supian Hashim. (2012) Amalan Kepimpinan Lestari dan Hubungannya dengan Prestasi Kerja Guru Sekolah Rendah yang menerima Tawaran Baharu di daerah Segamat. Universiti Teknologi Malaysia.

Kementerian Pelajaran Malaysia. (2013). Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-          2025. Malaysia.

0 comments:

Post a Comment